Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes mengumumkan pihaknya tidak lagi akan mengutip caj RM3 bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula minggu depan.

Fernandes mengumumkan perkara itu melalui sesi Facebook Live hari ini.

"Kita tidak akan mengutip caj KLIA2 minggu depan, anda yang pertama dengar (perkara ini). Tiada lagi caj di KLIA2," kata Fernandes.

Perkara itu diumumkan ketika AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) - yang merupakan pengurusan KLIA2 - sedang dalam pertikaian undang-undang di mahkamah berhubung PSC.

Pertikaian berkenaan susulan keengganan AirAsia mengutip bayaran penuh RM73 bagi setiap penumpang yang ditetapkan MAHB awal tahun ini.

AirAsia sebaliknya mengutip RM50 bagi setiap penumpang di KLIA2, yang merupakan harga lama sebelum MAHB mengumumkan kenaikan berkenaan.

Awal bulan ini, MAHB menyaman AirAsia RM36.11 juta berhubung PSC yang enggan dikutip syarikat penerbangan berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Fernandes menjelaskan adalah tidak adil mengenakan satu bayaran sama bagi KLIA dan KLIA2, kerana KLIA merupakan lapangan terbang yang jauh lebih baik.

Selain itu, hubungan AirAsia dan MAHB juga tegang apabila MAHB membuat laporan polis ke atas Ketua Perhubungan AirAsia, Mohd Aziz Laikar yang memuat naik klip video menunjukkan sebuah tong sampah dipenuhi ulat di balai berlepas KLIA2.

Bagaimanapun, janji temu untuk mengambil keterangan tersebut dibatalkan pada saat akhir.

Fernandes mendedahkan bahawa MAHB sudah menarik semula laporan polis berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, satu lagi kejadian berkaitan kebersihan KLIA2 dilaporkan media apabila sebuah rakaman video memaparkan seekor tikus berkeliaran di ruang menunggu KLIA2.

MAHB melalui kenyataan hari ini tampil menyatakan rasa kesal berhubung insiden itu dan berjanji akan mengambil tindakan segera.