Militan Indonesia dakwa tidak sedar bantu Noordin
Seorang anggota militan Islam Indonesia berkata dia tidak menyedari beg yang dibawanya berisi bahan letupan milik suspek pengganas Malaysia Noordin Mohammad Top, yang sedang diburu pihak berkuasa republik itu sejak tiga tahun lalu.
Seorang anggota militan Islam Indonesia berkata dia tidak menyedari beg yang dibawanya berisi bahan letupan milik suspek pengganas Malaysia Noordin Mohammad Top, yang sedang diburu pihak berkuasa republik itu sejak tiga tahun lalu.
Ahmad Rofiq Ridho, ketika memberi keterangan terhadap rakan militannya, Akhmal Fauzani, berkata dia membantu Noordin yang menggunakan nama samaran Aiman mengambil beg itu pada bulan Februari 2005.
Fauzani dituduh melindungi Noordin (foto) selepas kejadian pengeboman berani mati di kedutaan Australia pada September 2004, yang mengakibatkan 10 terkorban orang dan lebih 100 lagi cedera.
Ridho memberitahu sebuah mahkamah daerah di selatan Jakarta, Nordin yang sengaja meninggalkan beg itu ketika melarikan daripada serbuan polis, hanya memintanya mengambil beg tersebut dan membawanya ke bandaraya Semarang di Jawa Tengah, tetapi tidak diberitahu mengenai isinya.
Katanya, dia hanya mengetahui identiti sebenar Aiman selepas ditangkap polis di bandar Solo di Jawa Tengah ketika sedang berhenti rihat.
Diseksa polis
Ridho dibicarakan secara berasingan atas tuduhan meninjau sasaran pengeboman, termasuk sebuah sekolah Kristian di Jawa Timur, atas arahan Noordin.
Mengikut kertas tuduhannya, Ridho dikatakan memberi keterangan yang dia mengetahui beg itu berisi bahan letupan. Tetapi Ridho kemudiannya memberitahu mahkamah yang dia telah "diseksa" oleh pihak polis supaya mengaku Noordin menyimpan bahan letupan dalam beg itu.
Ridho adalah saudara kepada Fathur Rohman al-Ghozi, ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dibunuh oleh pihak berkuasa Filipina.
Noordin, seorang rakyat Malaysia, telah menjadi ahli penting JI yang bertanggungjawab melakukan siri pengeboman sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Rakan seperjuangannya, Azahari Husin mati ditembak polis anti keganasan Indonesia November lalu tetapi Noordin masih bebas.
- AFP

