Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sedang melaksanakan kajian menyeluruh terhadap semua aspek operasinya termasuk penilaian semula semua kontrak semasa.
Dalam kenyataan media hari ini, PSM berkata ia bagi menjadikan PSM sebagai agensi yang tidak terikat dengan bantuan kewangan kerajaan, selain membolehkan ketelusan dalam bekalan barangan dan perkhidmatan.
PSM, di bawah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes yang dilantik sebagai pengerusi Sept lalu, berkata kebanyakan kontrak berkaitan lebih berkesan dijalankan secara dalaman.
"Kajian semula ini melibatkan penilaian semula semua kontrak semasa untuk bekalan barangan dan perkhidmatan serta struktur organisasi di peringkat atasan dan pertengahan.
"Lebih daripada 70 kontrak sedang dikaji semula untuk membolehkan ketelusan yang lebih tinggi dalam bekalan barangan dan perkhidmatan kepada PSM, kebanyakan kontrak ini akan menjadi lebih berkesan dijalankan secara dalaman dan perancangan ini telah pun bermula.
"Pada masa yang sama tiada hak eksklusif diberikan kepada semua kontraktor terlibat," katanya.
Fernandes juga merupakan pemilik terbesar kelab bola sepak Queens Park Rangers yang mempunyai stadium Loftus Road Stadium di London.
Dalam kenyataan sama, PSM menjelaskan bahawa mereka sedang berdapan pertindihan tugas dan lebihan kakitangan dengan 67 lantikan kontrak dan 109 jawatan tetap.
"Justeru itu, PSM memutuskan mana-mana kakitangan kontrak yang akan tamat pada 31 Disember 2018 akan diberikan tempoh sehingga 15 Februari 2019 sebagai tempoh "soft landing" dan memberi ruang untuk mencari pekerjaan lain," katanya.
Tambah PSM, selain daripada mengurangkan perbelanjaan, mereka juga akan memulakan dasar meningkatkan pendapatan melalui pemasaran yang lebih besar, jualan dan acara-acara yang kreatif.
"Baru-baru ini semasa AFF Suzuki Separuh Akhir & Akhir, penjualan Suite Korporat berjaya mengumpulkan lebih RM500,000 untuk PSM. Ini tidak pernah dilakukan sebelum ini.
"Terdapat juga perancangan untuk mengadakan acara hiburan yang lebih besar di Stadium Nasional. PSM juga sedang berbincang dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menambahkan bilangan perlawanan bolasepak di KL Sports City.
"Bilangan acara yang diadakan di Axiata Arena juga dijangka meningkat sebanyak 50 peratus. Pada bulan hadapan, PSM akan mengumumkan kalendar program yang akan diadakan di KL Sports City," katanya.
Bagi tujuan berkenaan, PSM akan menjalani proses perubahan imej secara menyeluruh, termasuk laman web dan pengendalian media sosial.
"Untuk tujuan ini juga, PSM akan turut memperkenalkan tempahan dalam talian untuk semua tempahan kemudahan dan acara," katanya.
Bersempena dengan perkara di atas, PSM akan menjalani proses perubahan imej secara menyeluruh, termasuk laman web dan pengendalian media sosial. Untuk tujuan ini juga, PSM akan turut memperkenalkan tempahan dalam talian untuk semua tempahan kemudahan dan acara.
Fernandes berkata PSM akan berdepan masa sukar pada masa akan datang namun dengan pelaksanaan itu, PSM akan tampil sebagai entiti yang lebih kuat dan berdaya saing.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan PSM di atas semua kerja keras yang telah dilakukan.
