AG mohon maaf kesilapan kenyataan penghantaran pulang rakyat Thai
Sekumpulan rakyat Thailand beragama Islam yang lari ke negara ini masih berada di Malaysia dan belum dihantar pulang seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pagi tadi.
Sekumpulan rakyat Thailand beragama Islam yang lari ke negara ini masih berada di Malaysia dan belum dihantar pulang seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pagi tadi.
Abdul Gani, yang memohon maaf kerana membuat kenyataan itu, memberitahu Bernama petang ini bahawa ia berlaku akibat "kesilapan komunikasi".
Kenyataan awalnya itu dinafikan oleh Kementerian Luar Thailand.
Di Bangkok, jurucakap Kementerian Luar Thailand berkata mereka telah menyemak dengan Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, pejabat Konsul Thailand di Kelantan, pegawai-pegawai imigresen di Sungai Golok dan dengan pihak tentera, yang kesemuanya memberitahu bahawa kumpulan pelarian masih berada di kem tahanan di Ajil, Terengganu.
"Kami terkejut dengan laporan itu. Kami telah mendapat pengesahan daripada kedutaan kami dan sumber-sumber lain. Ianya tidak betul," kata jurucakap itu.
Radzi dan Gani membuat kenyataan itu kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai Triti Bantuan Bersama Undang-undang Jenayah dengan Myanmar dan Thailand di Kuala Lumpur.
Radzi dipetik sebagai berkata: "Tidak ada lagi isu. Semua sudah dihantar balik. Kedua-dua pihak (Malaysia dan Thailand) gembira."
Gani pula telah berkata kumpulan itu dibebaskan tahun lalu.
"Saya telah dimaklumkan mengenainya... Saya mendapat pengesahan daripada rakan-rakan saya di pihak sana. Kami amat gembira," katanya.
Masih di AJil
Seramai 131 penduduk Islam Thai melarikan diri ke Kelantan pada 30 Ogos tahun lalu kerana bimbangkan keselamatan mereka dalam pergolakan di selatan Thailand. Mereka kemudian dipindahkan ke kem tahanan sementara di Ajil.
Wakil Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) juga telah menemubual pelarian itu dan menyerahkan isu itu kepada kerajaan Malaysia dan Thailand untuk diselesaikan.
Disember lalu, seorang daripada pelarian itu yang percayai antara yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan di wilayah Thai itu dan dikehendaki oleh polis di sana, telah diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand.
Menteri Luar Thailand Kantathi Suphamongkhon dilaporkan berkata para pegawai kedua-dua negara akan terus mengadakan rundingan mengenai pelarian yang masih berada di negara ini.

