Paling Popular
Terkini

Revolusi Industri 4.0 berkait rapat dengan kepentingan informasi serta data kepada manusia pada masa akan datang.

Keadaan ini sudah tentu memerlukan pemain industri sentiasa peka agar tidak ketinggalan dalam sistem fizikal siber yang melibatkan keupayaan baharu dengan teknologi yang seharusnya terkini.

Semua ini perlu digerakkan oleh tenaga berkemahiran tinggi terutama dalam membangunkan sistem, aplikasi dan perkhidmatan seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan menganalisis data besar.

Persoalannya sekarang adakah Malaysia mempunyai tenaga mahir yang mencukupi dalam bidang ini bagi mengharungi industri keempat ini?

Impak kepada industri

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan SG Academy, sebuah institusi swasta yang menyediakan kemahiran untuk industri 4.0 , Datuk Sri Ganesh berkata revolusi baharu yang berlaku kini memberi impak kepada industri yang memerlukan teknologi dan pengeluaran produk secara besar-besaran.

Perlaksanaan automasi, sebagai contoh, kata beliau, membolehkan mesin (robot) mampu meramal dan bertindak melaksanakan sesuatu keperluan dengan bentuk pandu sendiri tanpa banyak campur tangan manusia.

Informasi yang disimpan bukan sahaja meramal sesuatu malahan mampu membolehkan mesin bertindak balas dalam menyelesaikan sendiri isu yang perlu diselesaikan.

“Sekiranya peringkat ini dilaksanakan sepenuhnya baharu sesebuah industri masyarakat dan negara layak diiktiraf berjaya melaksanakan sistem fizikal siber sepenuhnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Ganesh, persediaan tenaga berkemahiran untuk mendepani industri keempat ini di Malaysia masih terkebelakang kerana kebanyakan industri yang terdapat di negara ini masih lagi bergantung kepada bentuk pekerjaan manual yang memerlukan tenaga manusia.

Selain itu Malaysia juga masih bergantung kepada teknologi luar untuk membantu mendekati industri keempat berikutan kekurangan usaha membangunkan sendiri teknologi yang seiring dengan keperluan industri berkenaan.

“Kita tidak ada masalah dari segi mendapatkan teknologi dari luar negara kerana mudah dibawa masuk tetapi tenaga mahir masih lagi kurang. Kita perlukan tenaga mahir secara ekspress, barulah Industri 4.0 ini boleh digerakkan sepenuhnya,” katanya.

Perbandingan dengan negara Jerman

Ganesh yang turut terlibat dalam perancangan Pelan Induk Industri 4.0 berkata Jerman adalah contoh terbaik yang menggunakan semua elemen di dalam Revolusi Industri 4.0 untuk menggerakkan industri mereka. (Untuk rekod Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 pada Oktober 2018)

Jerman tidak menggunakan istilah Industri 4.0 kerana industri tersebut berkembang lebih awal di negara itu dan ia bukan lagi dianggap sebagai satu revolusi bagi mereka, katanya.

Kejayaan Jerman diasaskan oleh tenaga mahir yang dimiliki negara itu yang setara dengan kemajuan industrinya.

“Graduan di sana digalakkan mengikuti program “Dual Vocational Training” di mana pelajar wajib mengikuti program amali dalam industri yang bidangnya mereka pilih sendiri, “ katanya.

Selain itu pekerja tempatan juga digalakkan mengambil kursus pendek di mana boleh diartikulasi ke “nanodegree” yang membolehkan mereka menyelesaikan kursus mengikut keperluan industri dalam masa setahun.

Ganesh menjelaskan, dari sudut kemahiran, lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) lebih cepat masuk ke dalam industri 4.0 berbanding graduan universiti yang perlu menamatkan pengajian sekurang-kurangnya tiga tahun iaitu satu tempoh yang agak lama.

Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai satu sistem yang standard untuk mengeluarkan graduan yang menjadi tenaga mahir untuk industri 4.0.

“Kita uar-uarkan tentang industri 4.0… memperkenalkan banyak mesin baharu tetapi di manakah tenaga mahir kita? Adakah kita mampu sediakan tenaga mahir untuk kilang atau syarikat antarabangsa yang bertapak di sini untuk industri 4.0?.

“Silibus di universiti pula kebanyakannya agak ketinggalan dan tidak memenuhi keperluan industri 4.0. Graduan yang keluar terpaksa diajar kembali untuk memahirkan diri dengan elemen 4.0 seperti membuat additive manufacturing, autonomous robot iaitu bagaimana untuk kendalikan dan mengaturcara robot dan sebagainya,” katanya yang mengharap sokongan dan kerjasama serius Kementerian Pendidikan bagi menyediakan silibus yang dapat memenuhi keperluan industri 4.0.

Peluang pekerjaan yang terbuka

Menurut Ganesh, soal pengurangan tenaga kerja tidak perlu timbul kerana peluang pekerjaan sentiasa ada sekiranya mereka yang berkenaan bersedia mempersiapkan diri dengan kemahiran untuk industri terbaharu ini.

Memang pada dasarnya banyak pekerjaan yang sebelum ini dilakukan secara berulang seperti pembungkusan akan digantikan dengan robot namun perkara yang melibatkan kreativiti masih memerlukan manusia untuk berfikir dan mencipta sesuatu.

Teknologi boleh mengajar robot untuk berfikir, menulis, melukis seperti manusia tetapi harus diingat, sifat semula jadi manusia tetap tidak boleh dilakukan oleh robot, katanya.

“Sifat semula jadi manusia untuk mencipta sesuatu benda tidak boleh dilakukan oleh robot. Kreativiti ini perlu dibangunkan sejak di peringkat sekolah rendah lagi dengan memperkasakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan seni termasuk Bahasa Inggeris dan lukisan,” katanya.

Katanya, dari segi mempersiapkan tenaga mahir dalam industri 4.0, Indonesia dan Singapura lebih mendahului Malaysia kerana mereka mempunyai program tertentu dari luar negara yang dipelajari di tempat mereka.

Menurut Ganesh, sekiranya tidak ada tindakan drastik dari sekarang, Malaysia akan ketinggalan kerana negara-negara serantau juga kini semakin giat membangunkan industri 4.0 .

Beliau mencadangkan agar ditubuhkan satu suruhanjaya atau jabatan yang khusus untuk menyokong usaha industri 4.0 dengan meletakkan semua agensi yang terlibat di dalam menghasilkan tenaga mahir di bawah jabatan atau suruhanjaya tersebut.

“Kejayaan Malaysia menggerakkan industri 4.0 pasti akan menjadi tumpuan banyak negara maju untuk melabur kerana kita mempunyai tenaga mahir yang mencukupi, yang akan dapat mengembangkan perniagaan tanpa sempadan.

"Barangan yang dihasilkan untuk eksport akan meningkat dan dengan mudah pemindahan teknologi dapat dilakukan di sini,” katanya.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS