Mahkamah benar bekas mejar pohon perintah batal keputusan Majlis ATM
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan seorang bekas mejar memohon untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang "membersara" dan membatalkan tauliahnya daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan seorang bekas mejar memohon untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang "membersara" dan membatalkan tauliahnya daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Hakim Datuk Md Raus Sharif membuat keputusan itu selepas menolak bantahan yang dikemukakan oleh Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy yang mewakili MAT, Panglima Tentera Darat dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden oleh Mohd Yazid @ Chelvam Abdullah.
Md Raus ketika membenarkan permohonan itu bersetuju dengan hujah peguam Mejar (B) Ghazali Taib bahawa terdapat isu-isu lain yang perlu dibicarakan dalam kes ini.
Terdahulu, Ghazali memberitahu mahkamah bahawa Seksyen 9 Akta Angkatan Tentera 1972 yang digunapakai oleh MAT bagi membatalkan tauliah Mohd Yazid adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen tersebut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa membatalkan tauliah anggota tentera tanpa memberi sebarang alasan atas syor MAT.
Menurut laporan Bernama, Ghazali berhujah, Yang di-Pertuan Agong hanya bertindak atas nasihat dan syor MAT dan oleh itu, pihak yang bertanggungjawab membersara dan membatalkan tauliah Mohd Yazid adalah majlis berkenaan.
Beliau berkata sebelum dibersarakan dan dibatal tauliahnya, Mohd Yazid telah menerima hukuman dalam bentuk "amaran keras" kerana kesalahan tatatertib dan ini menunjukkan bekas Mejar itu telah dihukum dua kali atas kesalahan yang sama.
'Kesan mendalam'
"Ini adalah kes yang jarang sekali. Sebelum ini tidak ada anggota tentera yang cuba melawan Seksyen 9 yang tidak adil langsung. Majlis menggunakan seksyen ini untuk memberhentikan Mohd Yazid tanpa alasan. Kesannya amat mendalam, jika orang awam tahu, tidak ada siapa yang ingin menyertai ATM lagi," katanya.
Sementara itu, Narkunavathy berkata keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong dalam kes ini tidak boleh disemak kerana baginda bukanlah pihak berkuasa awam.
Katanya, Artikel 135(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa anggota tentera tidak mempunyai hak untuk didengar di mahkamah ini kerana mereka sudah mempunyai Mahkamah Tentera.
Dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 5 Ogos tahun lalu, Mohd Yazid, 42, dari Kampung Baru di Kuala Lumpur, mengemukakan dua alasan bagi mendapatkan perintah certiorari berkenaan.
Pertama, beliau mendakwa telahpun dibicarakan secara perbicaraan terus oleh pihak berkuasa atasannya iaitu Panglima 5 Briged Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, berhubung beberapa pertuduhan dan satu hukuman berbentuk "amaran keras" telah dijatuhkan terhadapnya.
Kedua, Mohd Yazid mendakwa tindakan membersara dan membatalkan tauliahnya telah menyebabkan beliau, antara lain, dihukum dua kali atas kesalahan yang sama serta tidak diberi hak dan peluang untuk membela diri.
'Sebab tidak sah'
Selain itu, Mohd Yazid mendakwa beliau mempunyai merit untuk kes ini kerana keputusan yang dibuat oleh MAT adalah tidak adil, tidak mempunyai sebab yang sah atau munasabah, tidak mengikut undang-undang serta melanggar prinsip keadilan semula jadi.
Mohd Yazid juga mendakwa telah kehilangan pekerjaan dan kerugian pendapatan berjumlah RM614,329.59 yang sepatutnya diterima sepanjang tempoh baki perkhidmatannya selama sembilan tahun, lapan bulan dan 24 hari.
Dalam afidavitnya, Mohd Yazid menyatakan beliau mula berkhidmat dengan ATM pada 13 Ogos 1984 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Renjer Diraja Malaysia.
Pada Ogos 1993 beliau dinaikkan ke pangkat Kapten dan menjadi Mejar pada Mac 2000.
Katanya, beliau telah didakwa dengan lapan pertuduhan mengikut Akta Angkatan Tentera 1972 pada 18 Februari 2004 dan telah disabitkan dengan tiga pertuduhan kerana lima pertuduhan lain digugurkan.
Selepas dijatuhkan hukuman "amaran keras", Mohd Yazid menjalankan tugasnya seperti biasa sehinggalah menerima surat daripada Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kuala Lumpur yang memaklumkan bahawa beliau telah dibersarakan dan dibatalkan tauliah daripada perkhidmatan ATM.
Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan dengan syor MAT ke-435 yang bersidang pada 15 Februari 2005 dan meluluskan cadangan membersara dan membatalkan tauliahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.