Isu siswa dirancang untuk ketatkan Auku: MPPUPM
Isu-isu berhubung gerakan pelajar universiti sengaja diperbesar-besarkan sekarang kerana kerajaan cuba mendapatkan sokongan untuk memperketatkan lagi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bulan depan, dakwa seorang pemimpin pelajar.
"Untuk memperketatkan akta itu, perlu ada isu. Maka apa yang berlaku sekarang ada unsur-unsur (mendorong) untuk ke arah itu (pindaan akta)," kata presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia, Mohd Nasri Muarat, mengulas laporan-laporan akhbar mutakhir.
Isu-isu berhubung gerakan pelajar universiti sengaja diperbesar-besarkan sekarang kerana kerajaan cuba mendapatkan sokongan untuk memperketatkan lagi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bulan depan, dakwa seorang pemimpin pelajar.
"Untuk memperketatkan akta itu, perlu ada isu. Maka apa yang berlaku sekarang ada unsur-unsur (mendorong) untuk ke arah itu (pindaan akta)," kata presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia, Mohd Nasri Muarat, mengulas laporan-laporan akhbar mutakhir.
Sejak Julai, akhbar-akhbar utama melaporkan kewujudan 10 persatuan tidak berdaftar yang menjalankan kempen membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan sebelumnya. Pelajar "militan" juga didakwa terlibat dalam kebakaran sebuah dewan utama di Universiti Malaya tetapi siasatan jabatan bomba kemudiannya membuktikan kejadian itu bukan angkara khianat.
Sementara baru-baru ini, Universiti Utara Malaysia pula sedang menyiasat 10 pensyarah dan empat pelajar yang didakwa terlibat dengan "gerakan bawah tanah." Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula membubarkan dua persatuan pelajar dan mengenakan tindakan tatatertib terhadap 47 pensyarah yang dituduh antikerajaan.
Sejak hujung minggu lalu, akhbar melaporkan secara besar-besaran pendedahan seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Wan Noor Hayati Wan Alias, yang mendakwa gerakan bawah tanah secara tersusun wujud di universiti-universiti tempatan dengan menggunakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan dua pertubuhan tidak berdaftar, Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan, bagi menanam sentimen membenci kerajaan.
Dihubungi malaysiakini hari ini, Mohd Nasri berkata seksyen 48(1) akta universiti, yang membenarkan pemilihan wakil pelajar secara demokrasi di kampus-kampus, kemungkinan besar diperketatkan untuk membolehkan pihak pentadbiran melantik sendiri pemimpin pelajar.
Alat tunggangan pembangkang
"Jika perkara itu dipinda, maka hak bersuara dan (sistem) demokrasi yang ada pada pelajar akan hilang. Hak pelajar akan terabai," tegasnya.
"Jika tidak berdasarkan pilihanraya (kampus), persatuan pelajar akan lebih terdedah kepada aspirasi pentadbir universiti dan bukannya suara mahasiswa."
Pilihanraya untuk memilih wakil-wakil pelajar di semua institut pengajian tinggi (IPT) awam kali ini akan selaraskan dan dipercayai diadakan pada November.
Selain itu, Mohd Nasri juga menyangkal tuduhan bahawa MPP di setiap universiti kini dijadikan "alat tunggangan parti pembangkang" seperti didakwa oleh presiden Persatuan Warga Warisan Melayu Muda Malaysia, Mohd Haswandi Ahmad semalam.
"MPP dipantau oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP). Setiap yang berlaku diketahui oleh pihak universiti," jelas Mohd Nasri.
Menurut Utusan Malaysia , Mohd Haswandi berkata kegiatan pelajar antikerajaan wujud di kampus kerana akta universiti tidak dilaksanakan dengan tegas. Beliau juga berkata beberapa aktivis pelajar pernah ditangkap ketika terbabit menyokong calon pembangkang dalam beberapa pilihanraya kecil.
Dalam laporan yang sama, seorang pelajar UTM, tidak disebutkan nama, mendakwa wujud "risalah-risalah yang menghentam kerajaan dan Perdana Menteri" semasa kempen pilihanraya di kampus itu.
Mohd Nasri juga berkata mustahil pelajar yang berkempen semasa pilihanraya kampus mengedarkan risalah antikerajaan kerana HEP meluluskan semua percetakan poster serta risalah kempen.
"Kalau perkara itu (risalah) antikerajaan, tentu HEP tidak benarkan," jelasnya, sambil mencabar pihak berkenaan mengemukakan bukti jika terdapat MPP yang berbuat demikian.
Ekoran kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) lewat Jun, kerajaan bercadang mengetatkan Auku. Kerajaan juga akan memperkenalkan kontrak akujanji untuk ditandatangani pensyarah dan pelajar IPT agar berkelakuan baik dan tidak menentang kerajaan.
Selain, sistem merit turut diperkenalkan untuk memastikan pelajar ke kampus hanya untuk mencapai kecemerlangan akademik.

