Masyarakat Cina di Kelantan sudah mula menolak PAS sepertimana yang terbukti dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir 6 Disember lalu, kata Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Katanya, keputusan pilihanraya itu seakan-akan memberi isyarat bahawa semua undi Cina dalam pilihanraya umum nanti bakal menjadi penentu untuk BN kembali menguasai Kelantan.

"Setiap undi masyarakat Cina nanti adalah penting sebagai penentu siapa yang bakal menerajui Kelantan dalam pilihanraya umum nanti," katanya di majlis makan malam bagi menghargai sokongan penduduk Cina dan Siam di Kampung Sakar di Pasir Mas, malam tadi.

Dalam pilihanraya kecil itu, calon BN Hanafi Mamat menewaskan calon PAS, Hanifa Ahmad dan calon bebas Datuk Ibrahim Ali, dengan majoriti 134 undi.

Menurut laporan Bernama, Koh yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Gerakan akan menyusun jenteranya lebih awal bagi memastikan masyarakat Cina diberikan penjelasan mengenai kegagalan PAS membangunkan Kelantan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hanafi berkata, BN sudahpun menunaikan janjinya untuk membangunkan kembali prasarana di Pasir Mas yang diabaikan PAS sejak memerintah selama 15 tahun.

Katanya, peruntukan sudah diluluskan untuk membina sistem perparitan, membaiki jalan-jalan kampung dan membaiki rumah-rumah penduduk miskin.