Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Enam sekolah di Keningau catat kemasukan murid tahun satu paling sedikit
Diterbitkan:  Jan 3, 2019 9:26 AM
Dikemaskini: 1:26 AM

Sekolah Kebangsaan (SK) Pangas antara enam sekolah di daerah ini yang merekodkan kemasukan murid Tahun Satu paling sedikit pada tahun ini.

Sekolah berkenaan ialah SK Pangas, yang menerima seorang murid, SK Pohon Batu (enam), SK Mamagun (tujuh), SK Binanon dan SK Nangkawangan masing-masing (lapan) dan SK Bonor (10).

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Haliman Narion berkata kekurangan murid seperti itu disebabkan faktor penduduk kurang, yang biasa berlaku di kawasan pedalaman, selain terdapat penduduk yang telah berhijrah ke daerah lain.

“Selain daripada itu kebanyakan kanak-kanak mengikuti ibu bapa bekerja di luar kampung...mereka bersekolah di sana,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Hilman berkata Pejabat Pendidikan Daerah tidak bercadang untuk mencantumkan kelas bagi sekolah yang menghadapi kekurangan murid disebabkan jarak di antara sekolah tersebut yang terlalu jauh.

“Sekolah akan menjalankan program pengajaran seperti biasa walaupun hanya seorang murid,” katanya.

Seramai 4,448 kanak-kanak memasuki Tahun Satu bagi sesi persekolahan 2019 di daerah ini yang bermula hari ini melibatkan 72 SK dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Beliau berkata daripada jumlah itu, SJK Yuk Yin mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 257 murid, diikuti SJK Saint Francis Xavier (163), SK Luagan (135), SK Pekan (123), SK Pasir Putih (113) dan SJK Yuk Kong (110).

Haliman berkata situasi sesi pertama sesi persekolahan sepanjang hari ini di 72 sekolah di daerah ini berjalan lancar.

Mengenai kemasukan murid Tahun Satu dalam kalangan warganegara asing, Haliman berkata tidak ada murid warganegara asing yang hadir ke sekolah hari ini.

Menurutnya perkembangan murid Tahun Satu warganegara asing hanya diketahui selepas 15 Januari ini sehingga ada kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

-- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS