Azman Hashim cadang jadikan Amcorp syarikat persendirian
Pengasas dan pengerusi eksekutif AmcorpGroup Bhd (Amcorp) Tan Sri Azman Hashim mengemukakan cadangan untuk menjadikan syarikat itu persendirian dengan menawarkan RM1.40 kepada pemegang saham bagi setiap saham Amcorp.
Pengasas dan pengerusi eksekutif AmcorpGroup Bhd (Amcorp) Tan Sri Azman Hashim mengemukakan cadangan untuk menjadikan syarikat itu persendirian dengan menawarkan RM1.40 kepada pemegang saham bagi setiap saham Amcorp.
Pengarah urusan kumpulan Amcorp, Soo Kim Wai berkata, cadangan berkenaan membolehkan pemegang saham menerima tunai RM1.40 bagi setiap saham Amcorp yang diserahkan.
Menurut laporan Bernama, Soo berkata, ini akan memberikan peluang kepada pemegang saham Amcorp untuk merealisasikan pelaburan mereka di atas harga pasaran sedia ada.
"Harga pasaran saham Amcorp tidak melebihi RM1.40 sejak 11 bulan lalu," kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.
Soo berkata, pembayaran tunai sebanyak RM1.40 bagi setiap saham Amcorp mewakili premium kira-kira 35.9 peratus, 34.6 peratus dan 38.6 peratus kepada harga penutup saham Amcorp pada 13 Jan, 2006, dan harga pasaran purata berwajaran lima hari dan tiga bulan saham Amcorp hingga 13 Januari 2006, masing-masing pada RM1.03, RM1.04 dan RM1.01.
Status penyenaraian
Beliau berkata, pembayaran berkenaan mewakili diskaun hanya 4.1 peratus dan 1.4 peratus masing-masing kepada aset ketara bersih (NTA) sesaham Amcorp sebanyak RM1.46 sebagaimana pada 31 Mac, 2005, dan NTA yang diaudit sesaham Amcorp pada 30 Sept, 2005, sebanyak RM1.42.
Apabila cadangan berkenaan muktamad, Soo berkata Azman, syarikatnya dan/atau mereka yang akan dilantik oleh beliau, akan secara kolektifnya memiliki 100 peratus Amcorp.
Beliau berkata, sekiranya berjaya, Azman tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Amcorp.
Semasa ditanya rasionalnya di sebalik cadangan berkenaan, Soo berkata: "Secara dasarnya, saya rasa ia merupakan langkah pertama ke arah merasionalisasikan pelan induk kewangan."
Beliau berkata, cadangan berkenaan dijangka siap pada awal Julai tahun ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.