‘Boy Sang Peng’ yang dibebaskan daripada penjara baru enam bulan lepas atas kesalahan dadah, ditahan semula oleh polis pada Selasa kerana disyaki mengedar 300 paket heroin di Flat Sri Selangor, Jalan Sang Peng.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata dadah seberat 527.28 gram bernilai RM15,000 itu ditemui bersama lelaki berkenaan ketika mahu menjualnya kepada pelanggan.

“Hasil maklumat awam, polis berjaya menahan suspek berusia dalam lingkungan 40-an pada kira-kira pukul 1 tengah hari bersama sebuah beg bungkusan plastik warna hitam yang di dalamnya terdapat lima ikatan getah mengandungi heroin.

"Lelaki itu dipercayai menunggu pelanggan di kawasan meletak motosikal flat berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Lelaki itu mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan lima rekod berkaitan dadah,” kata Shaharuddin dan menambah kata lelaki itu dibebaskan daripada penjara baru enam bulan lepas.

Lelaki itu menyasarkan pasaran dadah di sekitar Jalan San Peng dan Daerah Dang Wangi.

"Selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang digunakan suspek untuk mengedar dadah,” katanya.

Beliau berkata suspek direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama