Tindakan swasta 13 parkir sekitar bandaraya Melaka bebankan rakyat, peniaga
Tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menswastakan tempat letak kenderaan di 13 lokasi sekitar bandaraya Melaka membebankan rakyat dan peniaga berikutan kawasan yang terlibat merupakan antara lokasi tumpuan di negeri ini.
Pengerusi Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka, Khoo Poay Tiong berkata pelaksanaannya pada Selasa lepas (1 Jan) lepas bagi tempoh tiga tahun akan memberi kesan kepada rakyat yang waktu operasi perkhidmatan kutipan dan caj parkir dikenakan berbeza mengikut kawasan.
Khoo berkata keputusan tersebut jelas bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan Melaka dalam membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi apabila memansuhkan caj parkir pada setiap Sabtu dan Ahad di dalam zon pentadbirannya bermula 15 Jun lepas.
"Sistem parkir berbayar ini bukan sahaja membebankan pengguna yang berkereta malah perusahaan peniaga dan penjaja di kawasan terlibat turut terjejas apabila orang ramai mengelak meletakkan kereta di kawasan berbayar,” katanya.
"Kita berharap MBMB dapat menangguhkan atau pun menarik balik keputusan yang saya kira tidak munasabah. Sebagai contoh, pengguna yang ingin mendapatkan khidmat phostostat yang dianggarkan RM0.20 sen terpaksa belanja RM2 untuk bayar caj parkir," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Khoo yang juga anggota Parlimen Kota Melaka meninjau kawasan Taman Puncak Bertam yang merupakan antara lokasi terbabit yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.
Beliau berkata keputusan berkenaan juga dilakukan tanpa sebarang kajian terperinci dan dipercayai 13 syarikat swasta terbabit dikenakan kadar bayaran antara RM800 dan RM 1,000 sebulan oleh MBMB.
"Selain itu, kami (wakil rakyat kawasan) juga tidak dimaklumkan sama sekali dan tiada sebarang rundingan dilakukan, malah kita hanya tahu apabila isu itu tular di media sosial di samping mendapat aduan daripada rakyat.
"Saya juga telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri (Adly Zahari) yang turut terkejut dengan isu ini," katanya.
- Bernama

