Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda akan dituduh bersama

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengadakan perbicaraan bersama ke atas bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda atas dakwaan meminda laporan audit syarikat itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat keputusan itu setelah mendengar permohonan oleh pihak pendakwa Gopal Sri Ram, dengan peguam bela, Arul N Sivananthan berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan.

Berikutan permohonan itu, tuduhan terhadap Arul yang didakwa bersubahat bersama dengan Najib dalam pindaan dokumen itu dibacakan semula di hadapan Azura.

Arul berkata beliau memahami pertuduhan itu dan masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya serta meminta dirinya dibicarakan. Azura kemudian menetapkan kes itu dibicarakan pada 1 Mac.

Gopal, yang juga adalah pendakwa utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kes ke atas Arul pada mulanya dibicarakan oleh hakim mahkamah sesyen Rozina Ayob, yang awal pagi ini membenarkan permohonan Gopal untuk memindahkan kes itu ke mahkamah Azura.

Pada 12 Dis 2018, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu perdana menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu yang diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan tersebut bagi melindungi Anggota Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS