Tabung Wira Merah bagi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban semasa bertugas, akan dibuka berterusan sehingga dimaklumkan tarikh penutupannya, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menerusi akaun twitter JBPM, jabatan itu memohon maaf berhubung kenyataan sebelum ini yang menyatakan tarikh tutup sumbangan tabung berkenaan adalah pada 31 Jan.

"Untuk makluman, tabung ini akan dibuka berterusan sehingga dimaklumkan kelak. Segala kesulitan amat dikesali,” kata JBPM.

JBPM dalam kenyataannya hari ini berkata orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui wang tunai, cek dan Pemindahan Dana Elektronik (EFT).

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Akauntan Negara Malaysia - KPKT- T pada Bank Muamalat Malaysia Berhad, 16010000876715, dengan catatan Wira Merah Adib.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi PPjB Siti Rohani Nadir (Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 013- 2488994 atau 03-88927652.

“JBPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan dan penghormatan yang diberikan kepada Allahyarham,” kata jabatan itu.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lepas akibat kecederaan semasa respon kepada kes kebakaran kenderaan dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

- Bernama