Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman dakwa beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib
Diterbitkan:  Jan 4, 2019 11:25 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

Anggota Majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa beberapa menteri kabinet telah meminta laporan bedah siasat anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diubah.

Lokman membuat dakwaan itu semasa protes yang diadakan malam ini bagi membantah kerajaan yang didakwa gagal bertindak terhadap individu yang didakwa membunuh Adib.

"Beberapa individu dalam kabinet, antaranya Waythamoorthy, telah meminta supaya laporan ini dipalsukan dan ditukar menjadi Adib meninggal dunia kerana accident ataupun dilanggar kenderaaan.

"Adakah saudara-saudara nak membenarkan perkara ini berlaku di negara kita?" Soalnya kepada kira-kira 100 orang yang hadir.

Lokman bekata pihak polis sebelum ini menyatakan bahawa Adib telah diserang dan empat individu disiasat kerana cubaan membunuh.

Polis juga katanya telah memohon daripada jabatan peguam negara (AG) agar kes itu ditukar daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Ini sebenarnya yang patut berlaku dan AG sepatutnya membenarkan dan meluluskan permohonan pihak polis," katanya.

'Inkues dengan persetujuan PM'

Bagaimanapun beliau mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan inkues dilakukan terhadap kematian Adib selepas berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dan dengan persetujuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Ini bermakna orang yang sudah ditangkap dan sudah didakwa di mahkamah di bawah cubaan membunuh,  sekarang orang ini ada cukup masa untuk melarikan diri ke mana-mana negara yang mengharamkan hukuman mati," katanya.

Ketika ditanya wartawan kemudian, Lokman memberitahu selain Waythamoorthy, beliau dimaklumkan beberapa "menteri India" terlibat dalam komplot menutup kes itu.

"Mereka bimbang dapatan bahawa Adib telah dibunuh akibat daripada dipukul akan menyebabkan rusuhan kaum.

"Jadi kita nak beritahu rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu kita adalah orang yang rasional. 

"Kita tak mudah buat rusuhan. Yang jahat ni tiga empat orang ni,  kalau empat orang ni sudah didakwa di mahkamah kerana cubaan membunuh, memadailah empat orang ini dihadapkan ke mahkamah kerana membunuh," katanya.

Lokman juga mendesak kerajaan mendedahkan laporan bedah siasat sebenar terdahap allahyarham.

Adib, 24, cedera parah selepas dikatakan diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Lihat Komen
ADS