'Pelantikan baru SPR perlu melalui jawatankuasa parlimen'
Anggota Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menuntut kerajaan agar pelantikan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru dibuat perlu melalui jawatankuasa pemilihan parlimen yang baru ditubuhkan bagi pelantikan jawatan awam utama.
Jelas Khoo, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, anggota SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
"Dari segi undang-undang, perdana menteri dan jemaah menteri tetap mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad, tetapi ini tidak bermakna proses membuat keputusan tersebut perlu dijalankan di belakang tirai.
"Pelantikan ahli-ahli SPR baru mesti dijalankan melalui proses yang lebih menyeluruh dan demokratik," katanya dalam satu kenyataan.
Khoo berkata kerajaan dan jawatankuasa khas itu wajar membuat pengumuman mengenai kekosongan SPR dan membuat panggilan terbuka untuk pencalonan.
"Individu atau organisasi perlu dijemput untuk mencalonkan sesiapa saja yang dianggap berkelayakan," katanya.
Tambah Khoo, jawatankuasa khas itu juga boleh mengemukakan garis panduan berhubung kriteria kelayakan calon-calon yang ingin mengisi kekosongan SPR selain perlu menapis dan menyenarai pendek semua pencalonan.
"JPK Pelantikan kemudiannya perlu mengadakan sesi pendengaran awam, di mana calon-calon yang telah disenarai pendek boleh membuat kenyataan dan menjawab soalan-soalan.
"Ruang juga perlu diberi kepada orang awam untuk membuat representasi secara rasmi, sama ada untuk menyokong atau membantah mana-mana pencalongan berdasarkan sebab-sebab yang munasabah.
"Syor pencalonan tersebut kemudiannya wajar diusulkan di Dewan Rakyat. Selepas dipersetujui, Perdana Menteri boleh mengemukakannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik secara rasmi," katanya.
Selain itu, kata Khoo dalam jangka masa panjang, kerajaan wajar menginstitusikan proses-proses di dalam undang-undang supaya ini dengan menjadikannya undang-undang.
Pada bulan Oktober tahun lepas, lima anggota pesuruhjaya SPR dilaporkan akan dipendekkan perkhidmatan dan mengosongkan jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 januari 2019 selepas didakwa sudah hilang kepercayaan awam dan bersubahat dalam salah laku pada PRU 14.
Kelima-lima mereka adalah Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dan ahli-ahli suruhanjaya, Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.
Bagaimanapun ahli suruhanjaya, Datuk K Bala Singam masih meneruskan perkhidmatan.

