Perlis akan meminda Undang-undang Keluarga Islam melibatkan Perkara 23 9A dan 9B yang menetapkan suami dimestikan memberi nafkah kepada isteri "atau" menyelesaikan masalah harta sepencarian sebelum dibenarkan berpoligami.

Pindaan tersebut akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dijadual bulan depan atau Mac ini. Sebelum ini, undang-undang tersebut diluluskan dalam sidang DUN perlis Mac tahun lalu.

"Kita akan pinda perkataan 'atau' itu dan digantikan dengan perkataan 'dan'. Kita akan rujuk dengan Majlis Fatwa dan Majlis Agama Islam Perlis untuk tujuan pindaan itu," kata Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim selepas mempengerusikan mesyuarat exco Perlis hari ini.

Katanya, undang-undang itu akan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk memberikan kebenaran kepada suami yang betul-betul mampu serta bersikap adil untuk berpoligami dan bukannya hak isteri atau individu.

Menurut laporan Bernama, beliau yang mengharapkan undang-undang itu tidak mencetuskan kontroversi berkata, sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang bermastautin di Perlis boleh memanfaatkan undang-undang itu.

Sementara itu, Shahidan berkata undang-undang itu sepatutnya mula dikuatkuasakan tahun lalu tetapi tertangguh akibat masalah percetakan yang ketika ini telah berlarutan hampir 10 bulan.

Masalah percetakan itu dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi dan undang-undang itu akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong yang juga Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk dipersetujui sebelum diwartakan.

Ia dijangka mula dilaksanakan dua minggu lagi, katanya.

Shahidan yang kesal dengan kelewatan itu berkata beliau "terlepas pandang" sebelum ini dengan menyangka undang-undang itu telah dilaksanakan tetapi hanya menyedari situasi sebenar apabila bertanyakan kepada pegawainya dan dimaklumkan mengenai kelewatan percetakan terbabit.

Undang-Undang Keluarga Islam yang menetapkan garis panduan khusus kepada lelaki yang ingin berpoligami itu mula dibentangkan pada persidangan DUN Perlis pada Mac 2003 sebelum dipinda pada Mac 2005.