Kerajaan negeri Melaka dilaporkan akan megehadkan kuasa empat pihak berkuasa tempatan dalam mengeluarkan kontrak, terutama melibatkan kutipan dana daripada orang awam.

Menurut The Star, arahan tersebut untuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Empat pihak berkuasa tempatan tersebut selepas ini perlu mendapatkan kelulusan secara terus dari Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Teh Kok Kiew, sebelum boleh menganugerahkan sebarang kontrak.

"Secara ringkas, setiap dokumen perlu diteliti oleh saya untuk mengesan sebarang kontrak yang di luar kebiasaan yang memerlukan campur tangan segera dari kerajaan negeri," katanya seperti dipetik.

Langkah baru itu selepas pondok bayaran tempat letak kereta di Taman Nirwana di Klebang Besar dibakar penduduk setempat yang dilaporkan tidak berpuas hati apabila ia diswastakan, semalam.

Tiga belas syarikat dilaporkan telah dianugerahkan konsesi tempat letak kereta persendirian daripada PBT bulan lalu dan lapan daripadanya mula mengutip bayaran letak kereta 1 Januari lalu.

Insiden di Taman Nirwana itu dilaporkan telah menyebabkan kerajaan Melaka meneliti semula proses penganugerahan kontrak oleh PBT.

Sebelum ini PBT akan menganugerahkan kontrak berskala kecil melalui tender terbuka dan ia diluluskan melalui mesyuaratnya.