Exco Pemuda PKR Mohd Aizuddin Ariffin menyatakan sokongan agar projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) diteruskan selepas semakan semula diadakan bagi memastikan manfaat projek berkenaan dapat diperoleh oleh rakyat khususnya di Pantai Timur.

"Saya mencadangkan agar projek ini dapat diteruskan agar rakyat Pantai Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dapat menikmati kepesatan pembangunan dan tidak ketinggalan dari aspek ekonomi.

"Di samping itu, saya berpendapat projek ini mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan,selari dengan manifesto Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam kenyataan media semalam.

Mohd Aizuddin memberikan tiga perkara yang perlu diberi perhatian sekiranya projek berkenaan diteruskan termasuklah penglibatan rakyat Malaysia dalam segenap lapisan jawatan terutamanya peringkat profesional dan pekerja mahir projek berkenaan.

Selain itu, kata ketua Pemuda PKR Alor Star itu, kontraktor dan pembekal tempatan yang berkelayakan perlu diberi keutamaan dalam melaksanakan sub pakej kerja oleh kontraktor utama.

Projek ECRL juga, tambahnya, perlulah melaksanakan program latihan komprehensif dan pemindahan teknologi (technology transfer) untuk memastikan pekerja mahir yang mencukupi dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Perjanjian asal kerajaan persekutuan era BN bersama syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) wajar diteliti dan disemak semula untuk mengelakkan kontrak yang berat sebelah.

"Saya kekal optimis, kos pembinaan ECRL sebanyak RM81 bilion dapat dikurangkan di mana saya mencadangkan kaedah tender terbuka.

"[...]Perlaksanaan kaedah ini, secara langsung memberi ruang kepada kontraktor Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada kontraktor utama dalam projek ini. Kos pembinaan akan jauh lebih murah daripada sistem rundingan terus," katanya.

Mohd Aizuddin juga mencadangkan agar projek berskala besar di bawah ke parlimen bagi mereformasi pentadbiran dan mengukuhkan institusi Dewan Rakyat.

Pada 2 Jan lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa projek ECRL yang digantung pada Julai tahun lalu, boleh diteruskan pada skala yang lebih kecil sekiranya kerajaan China bersetuju.

Mahathir juga memaklumkan bahawa kedua-dua negara masih dalam perbincangan mengenai perkara itu Dan Malaysia sedang dalam dilema membayar ganti rugi besar sebaik sahaja projek itu ditamatkan secara rasmi, pada masa yang sama kekurangan kemampuan dari segi kewangan untuk meneruskannya.

Justeru, kata Mahathir, Malaysia akan membuat pindaan kepada projek itu atau mencari cara lain supaya perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan.