Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Menteri ke Cameron Highlands kerana tugas, bukan berkempen'

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan kunjungannya ke Cameron Highlands tidak lama sebelum PRK di situ bermula.

Menurut Wan Azizah, beliau ke sana selaku pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tiada kaitan dengan kempen politik.

"Saya ke sana kerana kita selesai mesyuarat MKN pada 27 Disember berkenaan Ops Gading 4 yang tamat pada 31 Disember.

"Dalam mesyuarat itu, kerajaan Pahang memohon agar kita sambung operasi itu untuk tangani pencerobohan (tanah) di Cameron Highlands yang menyebabkan tanah runtuh yang telah mengorbankan nyawa.

"Jadi ini salah satu langkah kerajaan pusat untuk menolong kerajaan negeri kerana ini merupakan bidang kuasa negeri," katanya kepada pemberita ketika program di Universiti Islam Antarabangsa di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau mengulas kritikan NGO pilihan raya Bersih berhubung beberapa menteri kabinet yang mengadakan program di Cameron Highlands sebelum kempen PRK bermula.

Katanya, lawatan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar juga berkenaan bidang kementerian itu.

"Beliau ke sana untuk membincangkan soal air, bukan tentang (kempen). Penamaan calon pun belum," katanya lagi.

Katanya tugas seperti itu perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada hubungan kerja antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS