Pembangkang tetap ceramah walau ditangkap
Parti Keadilan Nasional dan PAS akan terus menganjurkan ceramah walau dihalang polis, tegas seorang aktivis Pemuda Keadilan yang ditangkap dua malam berturut-turut.
"Tindakan polis tidak akan menghalang kami (Keadilan dan PAS) untuk terus mengadakan ceramah," kata naib ketua pemuda Keadilan, N Gobalakrishnan kepada malaysiakini hari ini.
Beliau ditangkap di dua ceramah berasingan, Taman Universiti, Johor Bahru dua hari lalu dan Kampung Pelentong, Tebrau semalam.
Selain beliau, 9 lagi aktivis pembangkang, termasuk Pemuda PAS, ditahan di balai polis dan akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Pada 5 September, timbalan ketua pemuda PAS negeri Zulkifli Ahmad dan lima penyokong ditangkap kira-kira jam 11 malam semasa ceramah di Taman Universiti. Tujuh orang itu dibawa ke balai polis Skudai untuk soal siasat sebelum dibebaskan jam 4 pagi.
Mereka dikehendaki hadir untuk dituduh berhubung kes berceramah tanpa permit polis di mahkamah itu pada 13 September.
Sementara dalam kejadian di Kampung Pelentong Baru, empat aktivis pembangkang, termasuk Gobalakrishnan, ditangkap kira-kira jam 10 malam dan ditahan di balai polis Pelentong sebelum dibebaskan lebih kurang jam 3 pagi tadi.
Mereka diarah hadir di mahkamah tersebut pada 20 September atas tuduhan yang sama.
Menurut Gobalakrishnan, cara polis bertindak dua malam itu hampir serupa. "Sebaik saja isu mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim disampaikan, polis cuba menghalang," katanya.
"Yang menghairankan, polis tidak bertindak apa-apa kepada dua penceramah sebelum saya berucap."
Dalam kedua-dua kejadian itu, polis turut merampas alat pembesar suara dan memberikan amaran agar beliau berhenti daripada memberikan ucapan.
Malaysiakini melaporkan 83 orang ditahan dua minggu lalu di beberapa tempat di negeri itu apabila PAS menganjurkan 21 ceramah serentak sebagai membantah larangan polis yang dikuatkuasa sejak Julai.
Akhbar Harakah keluaran terbaru menyebut, lebih 100 aktivis dan ahli parti itu ditangkap sepanjang bulan lepas. Sementara sebuah akhbar politik Cabaran menyebutkan 147 ahli dan penyokong parti itu ditahan sejak 2 Julai.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.