Najib: Mengapa PH perlu bertindak zalim kepada Sarawak?
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempersoalkan cadangan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mahu kerajaan-kerajaan negeri menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung menggunakan dana sendiri mulai tahun ini.
Cadangan itu, menurut Najib adalah tidak adil untuk kerajaan-kerajaan negeri terutama untuk negeri-negeri yang bukan di bawah PH seperti Sarawak.
“Mengapa perlu bertindak zalim kepada Sarawak? Nama pun ‘jalan persekutuan’.
“Ia tanggungjawab di bawah kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bukan itu sahaja, kerajaan persekutuan BN sebelum ini telah bersetuju dan meluluskan untuk membiayai sepenuhnya pembinaan Jambatan Rambungan dan Jambatan Batang Igan manakala pembinaan Jambatan Batang Lupar dibiayai secara 50-50 antara negeri Sarawak dan persekutuan.
“Kini, kerajaan PH tidak mahu membayar untuk ketiga-tiga jambatan ini dan kerajaan Sarawak terpaksa membiayai kos pembnaan penuh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, malam semalam.
Najib mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, yang berkata bahawa kerajaan negeri mungkin diminta menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung menggunakan dana sendiri.
Baru pada 4 Januari lalu, mengumumkan bahawa jalan persekutuan dan kampung yang lazimnya diselenggara melalui dana Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan diserahkan kepada kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Najib berkata, negeri-negeri yang bukan di bawah PH sudah pun membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan cukai-cukai pesekutuan yang lain.
Ini termasuk, duti eksais kereta dan cukai jalan setiap tahun yang dikutip oleh kerajaan persekutuan PH.
“PH harus mematuhi perlembagaan persekutuan dan bersikap adil kepada semua kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof turut menyelar cadangan baru itu yang menurutnya tidak wajar dan tidak patut dilakukan sama sekali.
“Ini kerana penyelenggaraan jalan persekutuan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan, dan ia dilaksanakan syarikat konsesi yang dilantik.
“Bagi penyelenggaraan jalan negeri ia dikendali melalui kerajaan negeri tetapi peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Menurut Fadilah yang adalah Menteri Kerja Raya semasa pentadbiran BN, Baru seharusnya berusaha dan berjuang untuk mendapatkan peruntukan berkenaan daripada menteri kewangan.
“Dulu setiap kali peruntukan tidak mencukupi untuk penyelenggaraan jalan, saya sebagai Menteri bertanggungjawab akan memohon supaya peruntukan ditambah dan tidak pernah menyerahkan kepada negeri untuk menanggung kos berkenaan.
“Sudahlah peruntukan untuk Sarawak dipotong, kini kita pula diminta menanggung sendiri kos penyelenggaraan. Perkara ini tidak seharusnya berlaku.
“Sebagai Menteri dari Sarawak, Baru sepatutnya berjuang untuk kepentingan Sarawak, bukannya menurut sahaja apa diputuskan oleh Pusat,” katanya.
Negeri-negeri yang bukan di bawah PH pun membayar SST dan cukai-cukai pesekutuan yang lain.
Duti eksais kereta dan cukai jalan setiap tahun pun dikutip oleh kerajaan persekutuan PH.
PH harus mematuhi perlembagaan persekutuan dan bersikap adil kepada semua kerajaan-kerajaan negeri.

