Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tony Fernandes berang dengan pengurusan KLIA2 setelah menemui apa yang muncul sebagai sarang lebah di tingkap di salah sebuah bangunan di lapangan terbang itu.

Dalam ciapannya di Twitter, Fernandes berkongsi gambar lebah yang didakwa dirakamkan di KLIA2.

"Sekarang kita ada lebah di KLIA2. Kita ada ulat, tikus dan sekarang lebah.

"Mungkin (boleh bina) zoo atau (jual) madu KLIA2. Boleh jana pendapatan baru bagi mengurangkan cukai lapangan terbang," katanya sinis.

Namun, kata Fernandes, insiden terbaharu itu boleh mendatangkan ancaman serius kepada keselamatan orang ramai.

"Bukan gurauan, ini berbahaya buat penumpang dan kakitangan saya. Bolehkah CEO baru yang tidak berkomunikasi menyelesaikannya? " soalnya.

Malaysiakini telah menghubungi MAHB untuk mendapatkan ulasan mengenai apa yang berlaku dan sedang menunggu maklum balasnya.

Pada Jumaat lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan pelantikan Raja Azmi Raja Nazuddin sebagai ketua pegawai eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk selama tiga tahun.

Sebelum ini, MAHB, sebagai pengendali KLIA2, menjawap di Twitter berhubung aduan penumpang yang menjumpai tikus di lapangan terbang itu pada Disember lalu.

Menurut MAHB, syarikat itu telah menjalankan aktiviti kawalan serangga secara di bawah pengawasan bahagian kawalan penyakit Kementerian Kesihatan.