PRK CAMERON HIGHLANDS | BN akan mengumumkan calon parti mereka bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, Khamis ini, lapor Umno Online.

Pengumuman itu akan dibuat di Seri Pacific Hotel di Kuala Lumpur yang bersebelahan dengan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada pilihan raya umum lalu, Naib Presiden MIC C Sivarraajh memenangi kerusi Cameron Highlands dalam pertembungan lima penjuru dengan meraih 10,307 undi, iaitu hanya beza 597 undi berbanding pencabar terdekatnya, calon DAP M Manogaran.

Bagaimanapun, Nov lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi berkenaan dikosongkan selepas mendapati berlaku pembelian undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menetapkan Sivarraajh hilang kelayakan bertanding dan tidak dibenarkan mengundi dalam tempoh lima tahun.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan naib presiden MIC itu untuk mencabar keputusan SPR.

M Kayveas dari MyPPP pada minggu lalu mengesahkan bertanding PRK berkenaan yang akan diadakan 26 Jan ini. 

Kayveas sebelum ini juga mendakwa BN tidak akan meletakkan calon daripada MIC jika beliau bertanding.

Sementara Setiausaha Agung MIC S Vell Paari semalam berkata pihaknya tidak menerima permohonan Umno untuk bertanding kerusi berkenaan.

"Tidak ada permohonan daripada Umno untuk bertanding di kerusi Cameron Highlands.

"Permintaan hanya untuk calon yang boleh menang. Pada masa ini, kami sedang menilai beberapa calon," katanya.

Pakatan Harapan (PH) menamakan Manogaran dari DAP sebagai calon mereka.

PAS mengumumkan tidak akan meletakkan calon, namun menyokong calon pembangkang yang dipilih pihak mereka.