Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dana RM25j sekolah pondok bukti k'jaan komited pada pendidikan Islam'

Peruntukan RM25 juta kepada sekolah pondok mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pendidikan Islam, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim hari ini menyerahkan replika cek peruntukan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof di satu program di Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa mengamalkan sikap terbuka terhadap sistem pendidikan Islam yang menekankan mutu dan kemajuan.

Katanya lagi, keseluruhan peruntukan itu juga diberi sekaligus dan bukan secara berperingkat.

"Ini menunjukkan kerajaan komited dengan pendidikan Islam selaras dengan Perlembagaan. Seperti yang sering dikatakan Mujahid, kerajaan bersikap terbuka terhadap sistem pendidikan Islam yang progresif dan bermutu tinggi.

"Hari ini kementerian kewangan memberikan RM25 juta kepada Mujahid. Kami hanya peruntukkan wang tetapi Mujahid akan menentukan soal pengagihan. Kementerian kewangan juga tidak menyatakan sebarang syarat berkenaan pengagihan itu," katanya lagi.

Tiada unsur politik dalam pendidikan

Mengulas lanjut, beliau berkata tidak boleh ada unsur politik dalam pendidikan.

"Sekolah tidak boleh dimiliki oleh parti politik atau ahli politik," katanya.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Mujahid menjelaskan dana itu akan dibahagikan kepada 228 sekolah di seluruh negara.

"Saya sangat setuju dengan pandangannya bahawa bidang penting seperti pendidikan perlu bebas daripada politik, termasuk di masjid. Ini dasar kerajaan baru," katanya.

"Sarawak akan akui kesilapan?'

Sementara itu, Lim menafikan dakwaan kerajaan Sarawak bahawa negeri itu tiada hutang tertunggak dengan kerajaan pusat.

"Rekod kita menunjukkan ada (hutang tertunggak)."

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan semalam berkata kerajaan negeri membayar hutang kepada kerajaan persekutuan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.

"Malah Sarawak antara salah satu negeri yang tiada tunggakan dalam pembayaran hutang. Ini dinyatakan dalam laporan ketua audit negara yang dibentangkan dalam Majlis Kewangan Negara," menurut kenyataan itu.

semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew menjelaskan Sabah belum menerima 50 peratus bahagiannya dalam hasil cukai pelancongan daripada kerajaan persekutuan.

Abdul Karim Rahman Hamzah

Liew yang juga menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri dilaporkan merujuk kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa Sabah telah menerimanya.

Merujuk kenyataan Liew, Lim berkata ia menunjukkan kerajaan Sarawak membuat dakwaan palsu.

"Apakah kerajaan Sarawak akan akui mereka silap? Tetapi itulah Sarawak, tak akan akuinya. Mereka rela buat dakwaan palsu untuk capai matlamat. Saya faham pilihan raya negeri dua tahun lagi.

"Anda boleh kritik (tetapi) berdasarkan fakta dan angka, Jangan jadi macam Najib," katanya lagi.

ADS