Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan Kassim masuk hospital, kes cabul ditunda 25 Februari
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Sebutan semula kes cabul melibatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang ditetapkan hari ini ditunda ke 25 Feb depan berikutan masalah kesihatan dan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Menurut peguam tertuduh, Thalia Rohaina Abdul Latiff, Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Ainul Shahrin Mohamad juga menetapkan 18 Feb untuk penyerahan dokumen.

Thalia Rohaina berkata Shahidan mengalami penyakit yang menyebabkan badannya kebas dan perlu dimasukkan air.

Tertuduh yang merupakan anggota Parlimen Arau didakwa melakukan gangguan fizikal dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang kanak-kanak berumur 15 tahun 7 bulan dalam kenderaan dinaikinya di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar pada 20 Okt lepas kira-kira pukul 11.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Beliau yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar pada 12 Dis lepas dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM25,000 dan dua penjamin.

Sementara itu, peguam yang mewakili mangsa, Mohd Hapiz Rajali berkata mangsa tidak berhasrat meneruskan kes tersebut.

"Anak guam saya ingin menumpu pada pelajaran dan tidak mahu diganggu," kata Mohd Hapiz.

Kes Shahidan menarik perhatian ramai sehingga polis terpaksa membuat kawalan keselamatan di kawasan Kompleks Mahkamah Kangar.

- Bernama

ADS