Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tanding, peluang menang lagi besar - Noh Omar
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

PRK CAMERON | Peluang BN mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands akan menjadi lebih besar jika gabungan itu meletakkan calon Umno, kata anggota majlis tertinggi parti itu, Noh Omar.

Beliau berkata ini berdasarkan situasi semasa di mana calon Umno akan menambah keyakinan kerana terdapat jumlah pengundi Melayu yang besar di kerusi parlimen itu.

"Apapun lebih penting lagi kita mengekalkan semangat BN dalam semua parti komponen.

"Kita kena tengok suasana sekarang. Bagi mendapatkan kejayaan lebih cerah di parlimen cameron Highlands saya merasakan kita perlu letakkan calon daripada Umno,” katanya kepada Sinar Harian.

MP Tanjung Karang itu berkata walaupun Camern Highlands merupakan kerusi tradisional yang ditandingi MIC, namun perubahan perlu dilakukan pada PRK kali ini supaya dapat memperkukuh peluang BN untuk menang.

MyPPP turut tanding

"Kita tidak kata MIC tidak layak (bertanding kali ini). Tetapi kita perlukan lakukan perubahan seiring dengan suasana semasa," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung MIC S Vell Paari berkata tidak ada permintaan daripada Umno untuk bertanding kerusi berkenaan.

Hujung minggu lalu, bekas menteri M Kayveas mengumumkan akan bertanding di Cameron Highlands.

Kayveas memimpin suatu kem dalam MyPP yang didakwanya sebagai parti bebas, manakala satu lagi kem yang bercanggah dengannya masih kekal bersama BN sebagai parti komponen.

Pada PRU14 lalu, Naib Presiden MIC C Sivarraajh menang kerusi itu dalam pertarungan lima penjuru, mengatasi calon DAP M Manogaran dengan lebihan tipis kira-kira 600 undi.

Pada November 2018, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan tersebut kerana amalan rasuah dan memutuskan parlimen itu perlu mengadakankan pilihan raya semula.

Cameron Highlands memiliki seramai 32,048 pengundi berdaftar, 34 peratus Melayu, 30 peratus Cina, 22 peratus lain-lain dan sebanyak 15 peratus India.

ADS