Paling Popular
Terkini
story images
story images

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya digesa untuk bersikap adil terhadap kemelut melibatkan parti itu di Perlis kata pengerusinya Ameir Hassan.

Katanya tidak adil untuk Marzuki mengatakan Bersatu Perlis bermasalah tanpa menjalankan siasatan terlebih dahulu berkaitan dakwaan bekas setiausaha negeri, Wan Saiful Wan Jan.

“Kita (Bersatu Perlis) tak ada masalah, yang bermasalah setiausaha negeri tu, jadi Marzuki kena siasat, kenal pasti masalah, jangan buat kenyataan secara rambang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Marzuki mengakui kepimpinan parti itu di Perlis bermasalah sejak dari awal.

Marzuki berkata, Bersatu Pusat mengambil maklum dakwaan yang dikeluarkan Wan Saiful mengenai kegiatan salah guna kuasa melibatkan parti itu.

Wan Saiful mengeluarkan dakwaan itu selepas beliau digugurkan dari jawatan setiausaha negeri atas alasan mengambil kira kesibukannya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Ameir berkata pihaknya terbuka sekiranya rombakan semula kepimpinan dibuat jika pimpinan negeri benar-benar mempunyai masalah integriti.

Integriti pihak atasan, MT

Bagaimanapun, beliau dengan nada sindiran menggesa semua pihak termasuk pihak atasan mempunyai integriti dalam membuat kenyataan.

“Tak apa, buat lah (rombakan). Kalau saya tak berintegriti lakukan (rombakan itu), saya tak ada masalah.

“Bagi saya integriti mesti ada pada semua pihak. Di peringkat atasan, majlis tertinggi, bukan sekadar negeri. Jadi kalau kita tak kenal pasti masalah sebenar dan buat rumusan bermakna kita pun tak berintegriti.

“Kalau nak jadi setiausaha agung, (kena) berintegriti, siasat terperinci, bagi adil pada semua pihak,” katanya sedikit emosi.

Katanya lagi, beliau dan rakan-rakan Bersatu yang lain telah berusaha membina parti itu sejak dua tahun lalu dan tidak mahu ia hancur begitu sahaja.

“Saya marah sebab kita bina Bersatu dah dua tahun walaupun kita tak menang (dalam PRU di Perlis).

"Jadi saya tak nak lihat hancur kerana datangnya orang yang tak pernah berpeluh, tak pernah menangis semasa kita tubuhkan parti.

“Saya bawa (lantik) dia (Wan Saiful) kerana niat saya saya nak dia ambil alih dari saya nanti, tapi buatlah secara teratur, hormati orang tua-tua dan dengar cakap. Kenapa dah dipecat baru bangkit,” katanya.

Lihat Komen
ADS