Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi Bersatu Perlis dakwa Wan Saiful digugur kerana '13 kesalahan'

Pengerusi Bersatu Perlis Ameir Hassan mendakwa Wan Saiful Wan Jan "melakukan 13 kesalahan" dan menurutnya itulah sebabnya beliau digugurkan daripada jawatan setiausaha parti negeri itu.

"Saya gugur dia (Wan Saiful) daripada jawatan parti sebab dia ada kesalahan. Saya kira ada 13 kesalahan yang dilakukannya," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika diminta menjelaskan lebih lanjut tentang dakwaannya itu.

"Saya tak boleh cerita".

Beliau juga tidak memberi jawapan ketika ditanya sama ada kesibukan Wan Saiful selaku pengerusi PTPTN merupakan salah satu daripada kesalahan itu.

Terdahulu ketika dihubungi pagi tadi, beliau berkata akan mengadakan sidang media untuk memberi penjelasan berhubung isu pengguguran Wan Saiful.

Ameir Hassan

Semalam, Ameir memberitahu Wan Saiful digugurkan atas alasan mengambil kira kesibukannya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, keputusan itu diambil tiga hari lalu pada mesyuarat khas Bersatu Perlis.

Tidak lama kemudian, Wan Saiful mengeluarkan kenyataan tentang berlakunya salah guna kuasa dalam Bersatu negeri itu.

Beliau mendakwa telah membuat laporan polis mengenai dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu negeri tetapi digesa menarik balik laporan itu.

Mengulas kenyataan Wan Saiful, Ameir berkata ia adalah isu lama dan sudah selesai.

Beliau berkata Wan Saiful membawa perkara itu kepada kepimpinan Bersatu Perlis dan ia dibincangkan dalam mesyuarat yang turut dihadirinya.

"Pelaku tiru tanda tangan dan pakai kepala surat bendahari agung.

"Bila Wan Saiful dapat tahu, dia buat laporan polis dan bawa ke pengetahuan saya. Kita adakan mesyuarat dan Wan Saiful minta dia dipecat (daripada jawatan)," katanya lagi.

Beliau juga menafikan pihaknya ada menggesa Wan Saiful menarik balik laporan polis berkenaan perkara itu.

Untuk rekod, Wan Saiful dalam kenyataannya semalam tidak menamakan secara khusus pihak yang dikatakan membuat gesaan itu.

Malaysiakini telah menghubungi Wan Saiful dan sedang menunggu maklum balas daripadanya berkenaan dakwaan ini.

Lihat Komen
ADS