Terjemahan Jika Penerbangan Malaysia (MAS) mendapat kelulusan untuk menerima bekas pegawai perisikan Israel berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara itu, ia dianggap sebagai'satu kes istimewa', kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho.

"Ia mesti mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu. Isu ini semestinya dikendalikan oleh pihak berkuasa tertinggi. Ia bukannya di peringkat saya," katanya ketika dihubungi.

"Saya percaya semakan awal telah dibuat sebelum permohonan itu diluluskan. Dan memandang ia membabitkan Israel, isu itu menjadi semakin sensitif," katanya.

MAS tidak menjawab pertanyaan daripada malaysiakini yang dihantar Selasa lalu melalui faks dan emel kepada Pengarah urusan dan ketua pegawai ekskutifnya, Idris Jala, dan kepada jabatan komunikasi korporat syarikat penerbangan itu.

Ketika dihubungi semalam, pengawal perhubungan media S Anbarasu berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang respon. Idris pula tidak dapat dihubungi setelah beberapa kali mencuba, untuk mendapatkan ulasannya.

Malaysiakini telah melaporkan, Ron Chernin, 41, yang didakwa bekas ejen Israel dilantik berkhidmat dengan MAS. Salinan permohonannya untuk mendapatkan pas lawatan bersama butiran pasport dan butiran peribadinya, didedahkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Nama Chernin tidak disiarkan Selasa lalu sementara menunggu pengesahan identitinya. Panggilan ke telefon bimbitnya telah dialih ke perkhidmatan pesanan sejak hari tersebut, tetapi ia mengesahkan nombor tersebut adalah untuk kegunaannya.

Permohonan pas lawatannya bertarikh 6 Disember 2005, menunjukkan ia permohonan sulung bagi mendapat visa kemasukan berulangkali ke Malaysia.

Penaja tempatan yang dinyatakan sebagai Penolong Pengurus Besar Operasi IT syarikat penerbangan tersebut, Faridah Abdul Rahman, tetapi beliau tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbitnya untuk mendapatkan ulasannya mengenainya.

Chernin dinyatakan sebagai warganegara Perancis walaupun tempat kelahirannya ialah bandaraya perindustrian Haifa di Israel. Butiran peribadinya menunjukkan dia pernah berkhidmat sebagai sebagai seorang pegawai berpangkat leftenan di unit perisikan Israel antara tahun 1983 dan 1988.

Tidak dapat dipastikan sama ada dia masih lagi berkhidmat dengan MAS kerana identitinya sama ada telah dibuang dari sistem data MAS atau diberi identiti baru sejak pendedahan tersebut, kata Azmin.

Membisu

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Sokongan dan IT MAS, Marzida Mohd Noor juga tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen sejak semalam. Nama dan tandatangannya terdapat pada dokumen yang meluluskan perlantikan empat individu yang dikatakan menerima bayaran yang terlalu tinggi.

Beliau telah menandatangani kontrak perjanjian antara MAS dengan juruperunding warga Australia, Sophia Drum, bertarikah 5 September tahun lalu. Berdasarkan salinan tersebut, juruperunding itu dibayar RM4,400 sehari atau kira-kira RM100,000 sebulan.

Menurut dokumen tersebut, MAS turut melantik tiga lagi individu pengurus besar bagi perkhidmatan sokongan, Zulaifah Abdul Ghani, 'enterprise architect' Michael Foong dan pengurus arkitek Ang Kean Leong yang masing-masing dibayar RM68,750, RM17,000 dan RM15,000 sebulan.

Bagi mendapatkan perkhidmatan mereka, MAS membayar RM298,202 kepada Aspac Executive Search Sdn Bhd. Maklumat tersebut berdasarkan kepada tiga salinan invois berasingan yang dikeluarkan oleh agensi tersebut kepada Marzida antara Julai dan September tahun lalu.

Pengarah Urusan Aspac Group EK Cheah, ketika dihubungi, enggan mengulas atau mengesahkan perkara tersebut dengan alasan sebarang maklumat mengenai pelanggan adalah rahsia. Beliau juga enggan menyatakan kadar bayaran yang dikenakan oleh syarikatnya.

Azmin juga mempersoalkan mengapa MAS membayar gaji yang begitu tinggi bagi juruperunding-perunding berkenaan sedangkan penyumberan operasi jabatan IT dikendalikan oleh syarikat komputer raksasa IBM pada 2003 di bawah kontrak 10 tahun bernilai AS$100 juta.

Pengurus Besar Kanan MAS, Chris Andrew, yang mengendalikan keperluan penyumberan teknologi maklumat MAS, meletakkan jawatan bulan lalu selepas didedahkan bahawa dia dibayar RM7,525 sehari.

'Buktikan saya silap'

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin memberitahu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam bahawa beliau tidak akan membuat sebarang laporan polis untuk sementara waktu ini.

Katanya, ia bagi membolehkan pihak polis menyiapkan siasatan mengenai kesemua laporan polis yang telah dibuat oleh parti itu sejak 1998.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus membangkitkan isu tersebut, umpamanya, dengan mengheret MAS ke mahkamah.

Katanya, Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan membangkitkan perkara itu di Parlimen yang akan bersidang Mac ini.

"Biar pihak kerajaan dan MAS buktikan saya silap. Jika saya silap, dakwa saya di mahkamah. (Pengerusi MAS) Datuk Munir Majid telah mengancam untuk menyaman (mereka yang membuat kenyataan mengenai MAS). Saya sedia menemuinya di mahkamah," tambah Azmin. Berita asal