Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas kakitangan Jasa pertahan tindakan sertai Bersatu

Alditya Aladdin yang pernah berkhidmat dalam Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) selama 14 tahun berkata ramai pihak "salah anggap" tugas jabatan itu sebagai badan propaganda pentadbiran BN.

Alditya yang terdahulu menyerahkan borang penyertaan ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), memberitahu pemberita bahawa dia tidak ada masalah untuk menyokong dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

"Banyak orang salah anggap sebenarnya. Jasa sebenarnya untuk selling policy of the government (mempromosikan dasar kerajaan semasa). Kita pergi ke rumah panjang, kita buat bagi limau masa perayaan Cina, kita buat perayaan Krismas. Kita bekerjasama dengan semua pihak.

"Jasa diasaskan dari zaman Dr Mahathir Mohamad lagi. Saya bekerja dengan tiga perdana menteri. Perjalanan berbeza tapi kita setia dengan government of the day.

"Apa yang disuruh oleh government of the day kita akan buat," katanya.

Alditya yang berkhidmat untuk Jasa sehingga jabatan itu dimansuhkan September tahun lalu berkata, terpulang kepada pimpinan untuk menentukan arah dan fungsi jabatan berkenaan.

"Terpulang pada pihak pimpinan untuk (tentukan) apa kita kena buat. Bukan semua yang kita buat tentang politik," katanya.

Dia dan 59 bekas kakitangan Jasa dari Selangor, menyerahkan borang penyertaan Bersatu kepada Anggota Majlis Tertinggi parti itu, Abu Bakar yahya pada majlis yang diadakan di Shah Alam, Selangor hari ini.

Di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak, jasa dipimpin oleh bekas anggota majlis tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan Tun Faisal Ismail Aziz.

Pemimpin PH yang merupakan pembangkang ketika itu sering mengkritik Jasa sebagai alat propaganda BN.

Berdasarkan dokumen perbelanjaan kerajaan persekutuan, Jasa mempunyai 272 kakitangan yang hampir separuh daripadanya adalah pelantikan politik, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Jasa dimansuhkan selepas PH mengambil alih kerajaan persekutuan susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Lihat Komen
ADS