Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Kedah tampilkan gandingan bapa dan anak
Diterbitkan:  Jan 10, 2019 8:00 AM
Dikemaskini: Jan 9, 2019 11:44 AM

Kepimpinan PKR Kedah akan menampilkan gandingan bapa dan anak, iaitu Johari Abdul Ghani sebagai pengerusi PKR negeri dan anaknya, Mohammed Firdaus sebagai ketua PKR negeri.

Johari dilantik menjawat jawatan itu oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim bulan lalu selepas berunding dengan pemimpin cabang.

Sementara pelantikan Firdaus diumumkan awal hari ini oleh Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir, selepas berunding dengan pemimpin Pemuda PKR Kedah dan pengerusi PKR negeri.

Ketika dihubungi, Johari berkata pelantikan anaknya tidak bersifat nepotisme.

Jelas Johari, beliau bertumpu kepada PKR Sungai Petani, sementara anaknya menang dalam pemilihan ketua Pemuda PKR Jerai.

"Dia menang dalam saingan sengit. Saya tidak sokong dia. Saya sendiri kalah dalam pemilihan jawatan ketua cabang Sungai Petani," kata Johari.

Akmal, dalam kenyataan media hari ini, berkata proses pelantikan bagi pemimpin Pemuda PKR Sabah dan Sarawak belum selesai.

"Semoga ketua Pemuda Negeri yang dilantik ini dapat memberikan khidmat yang terbaik bagi memastikan Keadilan terus terkehadapan dalam melaksanakan agenda reformasi," kata Akmal.

Daripada 12 ketua Pemuda PKR negeri yang dilantik setakat ini, sembilan merupakan yang menang dalam pemilihan Pemuda PKR, dan dan yang lain merupakan ketua Cabang.

Adun Kota Anggerik Najwan Halimi merupakan satu-satunya yang dilantik meski tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Pada pemilihan PKR tahun lalu, Najwan tewas dalam saingan merebut jawatan ketua Cabang PKR Shah Alam.

Senarai pelantikan bagi ketua Pemuda PKR negeri setakat ini adalah seperti berikut:

Perlis - Nor Azman Karap

Kedah - Mohammed Firdaus Johari

Penang - Fahmi Zainol

Perak - Mohamad Hairul Amir Sabri

Selangor - Najwan Halimi

Wilayah Persekutuan - Naim Brundage

Negeri Sembilan - Ahmad Izzuddin Ismail

Melaka - B Prasanth Kumar

Johor - R Yuneswaran

Terengganu - Mohd Huzaifah Md Suhaimi

Kelantan - Muhd Hafiz Muhd Kasasi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS