Polis tunggu laporan patologi sampel air kencing anak menteri
Anak Menteri Pertahanan akan didakwa sekiranya laporan patologi sampel air kencing mendapati lelaki berusia 31 tahun itu positif ganja, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.
Beliau berkata buat masa ini polis masih menunggu laporan sampel air kencing dari Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur yang dijangka mengambil masa antara sebulan dan tiga bulan.
“Tak ada pilih kasih. Tidak kira anak siapa pun. Sekiranya keputusan laporan pihak patologi menunjukkan positif (dadah), kami akan tuduh di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pasar Chow Kit, di sini hari ini.
Sabtu lepas, anak Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan rakannya berusia 33 tahun ditahan dalam pemeriksaan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di sini kira-kira jam 3 pagi. Kedua-dua lelaki berkenaan disyaki positif dadah jenis ganja dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis Kuala Lumpur akan lebih fokus dalam usaha membanteras kegiatan gangsterisme dan kongsi gelap di sekitar ibu negara.
Kumpulan kongsi gelap bukan sahaja melakukan pemerasan namun turut dipercayai aktif dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah bagi menyara anggota kumpulan mereka, katanya.
-- Bernama

