Korea Utara mahu adakan sidang kemuncak kedua dengan AS
GLOBAL l Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata negaranya akan berusaha mengadakan sidang kemuncak kedua dengan pemimpin Amerika Syarikat untuk mencapai keputusan yang bakal disambut baik oleh komuniti antarabangsa.
Menurut agensi berita China Xinhua, Kim berkata demikian dalam perbincangannya dengan Presiden Xi Jinping pada Selasa di Beijing, semasa lawatan beliau ke China dari 7 hingga 10 Jan, yang keempat dalam tempoh kurang setahun.
Semasa perbincangan itu, Kim berkata situasi di Semenanjung Korea semakin tenang sejak tahun lepas dan peranan China dalam proses ini amat jelas kepada semua pihak.
Beliau berkata Korea Utara amat berterima kasih dan menghargai usaha China.
Korea Utara akan terus berpegang teguh kepada pendirian untuk membasmi senjata nuklear dan menyelesaikan isu Semenanjung Korea menerusi dialog dan konsultasi, kata Kim.
Kim berkata beliau berharap semua pihak yang terlibat akan meletakkan kepentingan dan memberikan maklum balas yang positif terhadap kebimbangan Korea Utara, selain bersama-sama berusaha ke arah satu penyelesaian menyeluruh dalam isu Semenanjung Korea.
-- Bernama

