Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa guna Akta Hasutan isu hina Agong? Ini jawapan polis

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim hari ini mempertahankan tindakan polis menggunakan Akta Hasutan bagi menahan tiga individu yang didakwa menghina Sultan Muhammad V di media sosial.

Tegas Noor Rashid, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan tersebut demi menjamin keselamatan negara.

“Ia adalah isu sensitif yang ditularkan dalam media sosial dan kita telah menjeniskan kes ini bawah Akta Hasutan dan polis akan mengambil tindakan.

“Sebabnya kita tidak mahu kalau kita biarkan perkara ini tanpa dikawal dengan baik, tanpa tindakan yang baik.

"Kita takut akan mencetuskan sesuatu situasi yang mengancam keselamatan negara kita.

“Maka pihak polis perlu mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini siasatan ke atas tiga individu yang didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menghina Agong.

Kertas siasatan dah diserah

Semalam, pihak polis menahan tiga individu yang memuat naik komen jelik di media sosial yang didakwa berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V.

Ketiga-tiganya disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, menurut satu kenyataan oleh Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun hari ini.

Katanya, penahanan tersebut dilakukan kerana polis menerima beberapa laporan oleh orang awam.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan tersebut kepada pendakwa raya.

“Ada empat laporan kalau tak salah saya tetapi yang paling utama adalah tiga yang perlu kita ambil tindakan awal.

“Bagaimanapun, mereka yang ditangkap ini telah diberi jaminan dan kita akan serahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya dan kita tengoklah apa keputusannya,” katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan menjelaskan takrif menghina kepada polis, Noor Rashid menegaskan pihak berkuasa itu perlukan undang-undang bagi menjaga keselamatan negara.

“Antara tugas dan tanggungjawab polis yang saya perlu jelaskan adalah kita ada lima fungsi utama. Yang pertama, mengekalkan keamanan, kedua mengekalkan keselamatan dan yang lain-lain itu biasalah mencegah jenayah dan sebagainya.

“Jadi, apa juga insiden, apa juga perkara-perkara yang dilakukan sama ada melalui sosial media dan sebagainya kalau dibiarkan berterusan boleh mengancam keselamatan negara, maka segala kuasa yang ada undang-undang perlu hentikan ia daripada berlaku dan ini yang kita lakukan,” tegasnya.

Akan failkan di mahkamah

Tambah Noor Rashid, salah satu undang-undang yang boleh mengawal perkara itu daripada berlaku adalah Akta Hasutan.

“Dalam dunia moden ini, ada sosial media yang digunakan sepenuhnya dan ada yang menyalahgunakan sepenuhnya sosial media ini.

“Maka perlu ada satu undang-undang yang dapat mengawal aktiviti ini supaya apa yang nak ditularkan ialah berita-berita yang tidak mengancam keselamatan negara.

“Jadi, tanggungjawab jawab mereka adalah pastikan berita itu mesti benar, berita yang ingin disebarkan mestilah tidak mendatangkan atau menjejaskan keharmonian negara kita ini, itu penting.

“Maka saya kata salah satunya adalah undang-undang,” tegas Noor Rashid dan hanya mengangguk bila diminta mengesahkan undang-undang itu adalah Akta Hasutan.

Mengulas berhubung kes siasatan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Noor Rashid berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan.

Kata Noor Rashid dokumen itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Noor Rashid berkata beliau difahamkan bahawa pihak Timbalan Pendakwa Raya telah memfailkan kes itu di mahkamah.

"Mahkamah akan mula (pendakwaan) dalam masa terdekat jadi biar mahkamah menentukan," katanya.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lepas dan anggota bomba itu disahkan meninggal dunia pada 18 Dis di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS