Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH boleh terima bekas pegawai Jasa, tapi ada syarat

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak berhalangan dengan kemasukan bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ke mana-mana parti mereka, namun ia perlu ditangani secara berhati-hati.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata fahaman individu yang ingin menyertai PH mestilah selaras dengan perjuangan yang dibawa gabungan itu.

Katanya, jika ia dapat dicapai, maka pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menerima bekas kakitangan tersebut yang selama ini memang dikenali bekerja untuk kepentingan BN semasa ia menjadi kerajaan.

“Kalau mereka menyertai dan mereka bawa fahaman selaras dengan apa yang dibawa PH sekarang, tak ada masalah.

"Kalau tidak, maka dengan sendiri mereka akan terpinggir dalam Bersatu,” ketika dihubungi Malaysiakini.

Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 60 bekas bekas kakitangan badan propaganda BN yang menyerahkan borang keahlian kepada Bersatu, semalam.

Untuk rekod, Jasa ialah agensi yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Akui buat salah

Beberapa tokohnya memang terkenal sebagai penyokong tegar kerajaan terdahulu, terutama Najib Razak. Antara mereka ialah bekas anggota parlimen Batu Pahat Dr Puad Zarkashi.

Bagaimanapun selepas PH menguasai Putrajaya Jasa dibubarkan.

Salah seorang pemimpin PKR, Rafizi Ramli, berkata berdasarkan dokumen perbelanjaan kerajaan persekutuan, Jasa mempunyai 272 kakitangan dengan hampir separuh daripadanya berada dalam badan itu melalui lantikan politik.

Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, pula berkata kemasukan bekas kakitangan Jasa itu tidak memberi nilai tambah kepada PH sekiranya mereka tidak menyumbang dengan kemahiran yang ada pada mereka.

Sesi penerangan mengenai isu 1MDB antara 'jasa' dicurahkan Jasa semasa era BN

“Kesan (kemasukan itu) cukup minimum dan seolah-olah tak ada kesan langsung melainkan mereka bijak.

"Kalau mereka hanya orang biasa dan tak ada apa-apa keistimewaan, ia langsung tak ada kesan,” katanya.

Selain itu Lim turut mengulangi pendiriannya bahawa mana-mana bekas anggota parti komponen BN yang ingin menyertai PH perlu membuat kenyataan terbuka dengan mengakui semua kesalahan yang dilakukan ketika pemerintahan terdahulu.

“Tanpa pengumuman itu, seolah-olah mereka tak pernah salah. Itu saya tak boleh terima,” katanya.

Bagi Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul pula berkata kemasukan bekas kakitangan itu tidak mendatangkan sebarang masalah kepada PH memandangkan Jasa telah pun dibubarkan.

Johari Abdul

“Ada pun mereka rakyat biasa boleh pilih mana-mana parti yang mereka nak sertai, sama ada Bersatu, PAS, DAP atau parti lain, terpulang itu hak mereka.

“Orang PKR pun ramai (dari BN), saya bekas Umno, Anwar bekas Umno.

"Tak bolehlah buat andaian macam-macam sebab mereka bekas Umno yang menyertai Bersatu. Saya rasa itu hak masing-masing,” katanya yang juga anggota parlimen Sungai Petani.

Penyerahan borang permohonan bekas pegawai Jasa menjadi anggota Bersatu pada 9 Jan 2019

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya berkata pihaknya mengambil maklum mengenai penyerahan borang tersebut namun, segala keputusan sama ada menerima mereka atau tidak, terletak pada pimpinan parti.

“Saya dimaklumkan mereka hantar borang. Macam biasa, kita tak halang sesiapa hantar borang tapi kita juga perlu buat pendirian dulu sebelum buat keputusan,” katanya.

Beliau juga berpendapat, tidak ada keperluan untuk menubuhkan badan propaganda seperti Jasa dalam PH.

“Kita dah ada badan penerangan, kita rasa ia tak dibincangkan lansung, saya rasa tak ada keperluan.

“Apa-apa kena ikut saluran parti. Kita ada ketua penerangan kita dan kita akan kerja ikut parti kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS