Telefon: Keputusan saya, bukan arahan Kabinet, kata Hishammuddin
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjelaskan bahawa keputusan untuk menarik balik kebenaran para pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah adalah keputusan beliau dan bukannya arahan Jemaah Menteri.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjelaskan bahawa keputusan untuk menarik balik kebenaran para pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah adalah keputusan beliau dan bukannya arahan Jemaah Menteri.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Jemaah Menteri mengarahkan supaya kebenaran untuk pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah ditarik balik.
Menurut laporan itu lagi, keputusan Jemaah Menteri itu dibuat atas kebimbangan bahawa pelajar akan menyalahgunakan kemudahan tersebut.
Menurut Hishammuddin, larangan yang berkuatkuasa serta-merta itu meliputi semua sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
"Saya telah membuat keputusan untuk menarik balik kebenaran menggunakan telefon bimbit di sekolah.
Kabinet tidak bincang
"Saya nak tekankan di sini bahawa ini bukan merupakan arahan daripada Jemaah Menteri malah, perkara ini tidak dibincangkan langsung di dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian di Kuala Lumpur hari ini.
Hishammuddin juga berkata berikutan penarikan balik kebenaran tersebut, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.11/2005 bertarikh 23 Disember 2005 yang membenarkan penggunaan telefon bimbit oleh murid sekolah, dibatalkan.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan banyak pihak terutama ibu bapa dan guru yang belum bersedia membenarkan alat komunikasi itu digunakan oleh pelajar di sekolah.
"Kebimbangan datang daripada banyak pihak dan ia berbeza, ada yang berhubungkait dengan suasana sekolah dan juga daripada guru bagi memastikan garis panduan (mengenai penggunaan telefon bimbit) dipatuhi.
"Dalam keadaan sebegitu rupa, jika saya teruskan, jelas, ia tidak akan berjaya bagi memastikan garis panduan itu dipatuhi. Jika tidak mendapat sokongan majoriti, maka ia tidak akan menjadi kenyataan," katanya.
Beliau berkata, surat pekeliling berhubung perkara itu akan dikeluarkan secepat mungkin.
Garispanduan
Hishammuddin berkata, sekiranya pendekatan ini akan dilaksanakan pada masa akan datang, ia akan dikaji dan diteliti dengan lebih mendalam dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
"Satu-satu caranya ialah melihat golongan pelajar dan juga aliran sekolah tertentu, yang paling mudah ialah SBP.
"Setakat ini, belum ada keputusan yang membenarkan pelajar di SBP menggunakan telefon bimbit," katanya.
Pada 12 Januari lalu, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon mengeluarkan satu kenyataan membenarkan para pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah.
Kebenaran tersebut yang akan berkuatkuasa secepat mungkin tertakluk kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.