Lagi anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diserang oleh orang kampung. Kali ini, kejadian berlaku di Dungun, Terengganu dipercayai akibat salah faham.

Pengarah JPJ Negeri, Fauzi Haron ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian berlaku kira-kira 5 petang semalam ketika pihaknya mengadakan operasi di bandar Dungun khususnya untuk pemeriksaan ke atas motosikal.

"Semasa operasi itu, seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri daripada sekatan jalanraya. Empat anggota JPJ yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda kemudian mengejar lelaki terbabit hingga ke Kampung Pak Sabah.

"Setiba di satu selekoh, penunggang motosikal terbabit dipercayai terbabas ketika cuba mengelak seorang budak yang berdiri di tepi jalan lalu terjatuh ke dalam parit," katanya.

Fauzi berkata, anggota JPJ itu cuba mengangkat pemuda berusia 31 tahun itu tetapi penduduk kampung menyangkakan mereka yang melanggar penunggang motosikal berkenaan.

Menurut Bernama, dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang daripada penduduk itu telah mencekik dan menumbuk muka seorang anggota JPJ tersebut, katanya.

Fauzi berkata, walaupun pihaknya diserang oleh penduduk kampung, mereka tetap menghantar penunggang motosikal terbabit ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

"Penunggang motosikal itu cuma mengalami luka-luka di badan manakala anggota penguatkuasa JPJ itu juga cedera ringan," katanya.

Laporan polis

Beliau berkata, anggota JPJ yang dicekik dan ditumbuk itu, Saifulnizam Mohd Tahir, 25, kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun malam semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Dua hari lalu di Kangar, Perlis, seorang anggota penguatkuasa JPJ ditumbuk di kepala dan seorang lagi patah tangan serta ibu jari kiri selain lebam di badan kerana diserang 10 hingga 15 lelaki.

Kejadian berlaku apabila seorang daripada anggota penguatkuasa JPJ itu dikatakan membaling bangku yang terkena kepala Muhammad Taufik Meh, 16, sehingga pelajar itu pengsan ketika dia cuba melarikan diri daripada sekatan jalanraya.

Seorang pegawai penguatkuasa JPJ, Zamri Fadzil dilaporkan berkata pihaknya mengarahkan Muhammad Taufik berhenti tetapi dia terus memecut dan masuk jalan bertentangan sebelum gagal mengawal motosikal lalu terjatuh.

Zamri, 30, berkata beliau cuba mengangkat motosikal pelajar itu tetapi dihalang dan sejurus selepas itu, dia diserang 10 hingga 15 lelaki dan seorang daripada lelaki itu menumbuknya di kepala.

Rakannya, Supian Hashim, 27, patah tangan serta ibu jari kiri selain lebam di badan kerana dipukul dengan meja oleh seorang lelaki, dipercayai orang yang sama menumbuk Zamri.