Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setiausaha Kit Siang bantah penahanan Lokman bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 12:38 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Peguam yang juga ahli DAP Syahredzan Johan membantah penahanan Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam di bawah Akta Hasutan 1948.

Menggelarkan undang-undang tersebut sebagai akta drakonian, Syahredzan berkata terdapat banyak akta lain boleh digunakan untuk menyiasat presiden NGO Pemantau Malaysia Baru itu.

"Sekiranya betul Lokman Adam ditahan polis di bawah Akta Hasutan, saya bantah penahanannya di bawah Akta ini.

"Terdapat banyak lagi Akta yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap Lokman Adam," katanya menerusi Twitter.

Syahredzan, yang merupakan setiausaha politik kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang adalah antara individu yang menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan beberapa undang-undang yang dianggap kejam.

Terdahulu, beliau juga membantah penangkapan tiga individu lain di bawah Akta Hasutan baru-baru ini kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan semalam, Pemantau Malaysia Baru berkata Lokman ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang menuduh kerajaan PH cuba melindungi mereka yang membunuh anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Bagaimanapun, polis masih belum mengesahkan penahanan itu dibuat di bawah Akta Hasutan.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan maklum balas mengenai penahanan itu.

Lihat Komen
ADS