Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah Jumaat sokong larangan merokok
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 1:55 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru rakyat agar menyokong usaha kerajaan untuk membudayakan amalan tidak merokok di kalangan masyarakat Malaysia.

Mimbar berkata, sokongan rakyat amat diperlukan dalam merealisasikan usaha kerajaan itu sekali gus mewujudkan persekitaran hidup yang bersih dan sihat.

"Mimbar menyokong sepenuhnya usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan pengisytiharan larangan merokok di tempat makan.

"Usaha ini jelas sekali bertujuan untuk melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok dan membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam," teks khutbah itu dipetik.

Khutbah bertajuk Ke Arah Menjadikan Malaysia Bebas Amalan Merokok itu sempena larangan merokok yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Pada masa sama, mimbar juga mengajak golongan perokok agar berazam dan berusaha untuk menghentikan terus tabiat merokok melalui pelbagai kaedah yang telah sedia dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Apa yang membimbangkan, terdapat segelintir masyarakat kita yang bersikap sambil lewa terhadap tabiat merokok sekalipun menyedari ia membawa kesan mudarat dan dilarang oleh agama," kata mimbar.

Bahkan, kata mimbar, tabiat merokok menjadikan orang sekeliling turut menerima kesan buruk daripada asap rokok.

"Kajian menunjukkan seseorang yang merokok itu hanya menyedut sebanyak 30 peratus daripada asap rokoknya, sedangkan 70 peratus daripada bakinya meresap ke udara.

"Lebihan asap ini mengancam hak orang lain yang lebih ramai iaitu golongan bukan perokok dengan udara yang tercemar kesan daripada asap rokok," kata mimbar.

Bagaimanapun, mimbar berkata perokok tidak perlu dicemuh sebaliknya dinasihati.

"Kita semua tidak harus mencemuh dan membiarkan sahaja golongan ini, namun kita sentiasa perlu memujuk dan menasihati mereka agar melatih jiwa untuk menolak sepenuhnya tabiat merokok," kata mimbar.

Pada Oktober lalu, kementerian kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Januari.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala pemilik premis makanan yang gagal memastikan pelanggan tidak merokok akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.

Lihat Komen
ADS