37,732 guru bukan siswazah naik pangkat
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengumumkan berita gembira kepada guru bukan siswazah 37,732 guru Gred DGA29 dijangka layak dinaikkan pangkat ke Gred DGA32.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengumumkan berita gembira kepada guru bukan siswazah 37,732 guru Gred DGA29 dijangka layak dinaikkan pangkat ke Gred DGA32.
Kenyataan itu tentunya menggembirakan warga guru bukan siswazah yang dilaporkan merasa terpinggir berikutan keputusan kerajaan menaikkan pangkat 10,000 guru siswazah.
Hishammuddin berkata pada tahun lalu, sebanyak 11,397 guru bukan siswazah telah diluluskan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan.
"Ada kebimbangan daripada pihak-pihak tertentu khususnya daripada NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) yang mengatakan guru-guru bukan siswazah tidak mendapat pembelaan, ini tidak benar.
"Apa yang saya telah umumkan melalui perutusan tahunan saya, bahawa pada tahun 2005 sahaja, 11,397 calon yang telah diluluskan kenaikan pangkat daripada Gred DGA29 kepada DGA32.
"Insya-Allah, pada tahun ini kita akan melihat peningkatan iaitu sejumlah 37,732 lagi calon guru bukan siswazah akan dinaikkan pangkat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian hari ini.
Menurut Bernama, Hishammuddin berkata guru bukan siswazah turut diambilkira dalam soal kenaikan pangkat dalam usaha kerajaan memartabatkan profesion perguruan.
"Kita tidak pilih guru dan tidak memikirkan golongan tertentu sahaja. Apa yang lebih penting ialah guru-guru menghargai pengiktirafan ini dengan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkasakan sekolah masing-masing," katanya.
Dua hari lalu, Hishammuddin mengumumkan seramai 10,000 guru siswazah Gred DG41 dijangka dinaikkan pangkat ke DG44 tahun ini, yang terbesar pernah dilaksanakan bukan sahaja dalam perkhidmatan perguruan, malah perkhidmatan awam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.