Pemimpin siswa USM hadapi kes disiplin lagi
terjemahan Seorang pemimpin pelajar Universiti Sains Malaysia dikenakan tindakan disiplin lagi, kali ini berhubung penyertaannya dalam satu "perhimpunan haram" November lalu bagi membantah pelaksanaan Sekolah Wawasan.
Dalam surat bertarikh 23 Ogos, bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) mengarahkan Lee Yen Ting, pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua (PBT), hadir di depan jawatankuasa tatatertib Isnin depan.
Bagaimanapun, Lee, seorang pelajar tahun tiga jurusan pengurusan, dijadual mengambil peperiksaan akhir semester pada hari itu dan beliau telah menulis surat kepada jawatankuasa itu untuk menangguh perbicaraan tersebut.
Lee memberitahu malaysiakini , penolong pendaftar USM Zaitun Adnan dalam surat itu mendakwa pelajar wanita itu terbabit dengan perhimpunan haram yang diadakan di pintu masuk USM di Sungai Dua, dan penyertaannya itu bertentangan dengan peraturan universiti.
Perhimpunan itu, yang dihadiri 50 pelajar, diadakan sebagai membantah cadangan kerajaan untuk menggabungkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan Melayu. Cadangan itu mendapat bantahan meluas masyarakat Cina dengan alasan ia menghakis kebebasan dan identiti sekolah-sekolah Cina.
Seorang pelajar USM Loke Chee Hoe telah didapati bersalah pada Selasa kerana menyertai perhimpunan itu. Hukuman terhadapnya akan diputuskan selepas tamat musim peperiksaan.
Lee sebelum ini pernah dikenakan amaran berhubung tuduhan menyertai perhimpunan di depan pejabat HEP ketika perbicaraan empat anggota kumpulan bahas PBT bulan lepas. Empat orang ahli persatuan itu dikenakan denda masing-masing RM150 selepas didapati bersalah menyertai pertandingan debat di sebuah universiti di Singapura pada Mei tahun ini.
Awal Julai, Lee dan setiausaha agung PBT Choo Chon Kai masing-masing didenda RM200 selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan kepada akhbar-akhbar Sin Chew Jit Poh dan The Star berhubung keengganan USM membenarkan kumpulan debat ke republik itu.
Selain itu, Choo kini sedang menunggu keputusan selepas didapati bersalah Khamis lalu menjual lencana kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun.
Jawatankuasa tatatertib yang dianggotai lima pegawai USM diketuai oleh naib canselor HEP Prof Madya Jamaludin Mohaiadin

