Kerangka bina empangan baru Sabah perlu dipercepat atasi masalah air
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah mempercepat kerangka pembinaan projek empangan baharu Sabah bagi memastikan bekalan air yang mencukupi bagi kawasan Pantai Barat termasuk Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Inanam dan Tuaran.
Beliau berkata pembinaan empangan baharu itu dilihat perlu memandangkan bekalan air di kawasan berkenaan tidak mencukupi dan semakin berkurangan, justeru, perancangan jangka panjang penting bagi mengatasi masalah tersebut.
"Kerajaan negeri akan mencari jalan untuk memastikan bekalan air di Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran sentiasa mencukupi dan saya juga telah mengarahkan Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri Datuk Peter Anthony untuk mempercepat kerangka bagi membina empangan baharu tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kesukaran dihadapi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah ketika operasi memadamkan kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan, dekat sini, yang antara lain disebabkan tekanan air pili bomba rendah.
Kebakaran kira-kira 12.30 tengah hari semalam itu memusnahkan sebanyak 55 rumah setinggan di kampung terbabit, melibatkan 315 penghuni daripada 74 keluarga.
Mohd Shafie berkata empangan baharu itu juga sangat penting memandangkan kerja-kerja pembangunan di Sabah memerlukan sumber air manakala orang ramai akan turut menghadapi masalah sekiranya air tidak mencukupi untuk kegunaan harian.
Beliau berkata kerjasama penuh daripada masyarakat setempat adalah perlu selain menerima perancangan pembinaan projek empangan baharu itu secara terbuka tanpa sebarang protes.
-- Bernama

