BERITA Malaysiakini

Orang kuat Gerakan buat kejutan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK CAMERON | Status Gerakan bukan lagi anggota komponen BN. Secara mudah, Gerakan sudah terpisah daripada mana-mana parti dalam BN.

Memang kedua-duanya sekarang sudah menjadi pembangkang.

Namun hari ini salah seorang pemimpinnya didapati menjadi watak penting dalam memastikan BN menjadi salah satu parti yang merebut kerusi parlimen Cameron Highlands.

Ia berlaku apabila Pengerusi Gerakan Cameron Highlands, Ho Kip Yap, bertindak sebagai pencadang kepada calon BN, Ramli Mohd Nor.

Ditanyakan peranannya yang dilihat bercanggah dengan kedudukan Gerakan, Ho bagaimanapun mempertahankan keputusan tersebut.

Kata Ho, Gerakan perlu mengakui peranan BN sebagai kerajaan negeri Pahang.

"Selepas Gerakan tidak bertanding (dalam PRK ini) saya membuat keputusan untuk mencalonkan beliau (Ramli).

"Dulu saya seorang Adun dan hingga kini masih menyokong BN.

"Kita kena tahu ini (Pahang) ialah negeri BN dan tanah serta kebun-kebun yang ada di bawah kerajaan BN," katanya kepada Malaysiakini.

Parti tak tahu

Pada asalnya Gerakan disebut-sebut akan menyertai saingan merebut kerusi parlimen Cameron Highlands yang dikosongkan selepas penyandangnya disabitkan dengan kesalahan rasuah pilihan raya.

Bagaimanapun semalam Gerakan membuat keputusan muktamad untuk menarik diri.

Justeru kehadiran Ho dan peranannya menjadi pencadang kepada calon BN di pusat penamaan calon di Tanah Rata pagi tadi mengejutkan orang ramai.

Untuk rekod Gerakan meninggalkan BN selepas gabungan berkenaan gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk terus menjadi kerajaan selepas 9 Mei 2018.

Ho (kanan) yang menjadi pencadang kepada Ramli

Ho juga berkata dia tidak memaklumkan kepada Gerakan mengenai tindakannya menjadi pencadang kepada Ramli.

"Mereka tak tahu (sebab) saya rasa ia benda kecil saja, tambahan pula kami (Gerakan) tak bertanding," katanya.

Ho turut mengakui ada anggota Gerakan kini marah kepadanya, terutama apabila sebahagian daripada mereka mahu parti terbabit bertanding dalam PRK kali ini.

Namun katanya Gerakan Cameron Highlands dan dia sendiri tidak cenderung untuk bertanding.

"Kalau Gerakan bertanding di sini, keadaan akan jadi teruk," katanya.

Di sebalik tindakannya menjadi pencadang kepada calon BN, Ho turut menegaskan Gerakan tidak akan berkempen untuk parti itu dalam PRK ini.

[Baca berita asal]