Malaysiakini BERITA

PH: Kami hanya bayar balik duit minyak pada sukarelawan

Geraldine Tong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK CAMERON | Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya hanya memberikan bayaran balik untuk kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri pada hari penamaan calon semalam.

Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH Arvind Bharet berkata demikian bagi menjawab gambar yang menunjukkan jentera PH seolah-olah sedang mengagihkan wang kepada sekumpulan individu.

"Ia adalah pembayaran balik kos petrol kepada sukarelawan yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

"Pembayaran balik ini akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya. Semuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu kemudian disahkan sebagai kenyataan rasmi oleh pengurus kempen PH Wong Kah Woh.

Awal hari ini, gambar yang menunjukkan pengagihan wang terhadap sekumpulan individu yang memakai baju PH tular di media sosial.

Antara yang mengongsikan  itu ialah Anggota Parlimen Umno Kinabatangan Bung Moktar Radin.

"Ini bukan politik wang, kakak ni cuma bagi duit minum, tunggulah kat pembuangan undi baru bagi wang besar lagi. Sekarang ni pancing dulu mood orang muda, kalau boleh tipu lagi baru masuk gear 4," ciapnya di Twitter.

Susulan penyebaran gambar itu, MIC membuat laporan polis terhadap calon PH M Manogaran.

"Gambar ini menunjukkan pemerintah memperkenalkan unsur pembelian undi dan politik wang dalam usaha mempengaruhi PRK," menurut laporan itu yang dilihat Malaysiakini.