Polis ambil keterangan pegawai ILP tendang motosikal
Polis sudah mengambil keterangan seorang pegawai Insitut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu bagi membantu siasatan insiden menendang motosikal di kawasan pusat kemahiran berkenaan.
Ketua polis negeri, Hasanuddin Hassan berkata, lelaki berusia awal 40-an itu juga sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu, kira-kira pukul 7 malam (semalam) untuk membuat laporan berkaitan insiden terbabit sebelum ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
"Setakat ini, kita menerima satu laporan daripada salah seorang pemilik motosikal yang ditendang suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan kerosakan harta benda.
"Selepas selesai memberi keterangan, suspek dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, sebuah klip video memaparkan seorang lelaki yang dikatakan berjawatan sebagai timbalan pengarah ILP berang dan bertindak menendang beberapa buah motosikal di kawasan surau pusat kemahiran itu.
Kejadian berkenaan yang tular di media sosial mendapat kecaman netize.
Sementara itu, Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad dilaporkan berkata, pegawai berkenaan kini diarahkan bercuti sementara siasatan dalaman dilakukan.
Katanya, kesalahan itu tidak boleh dituju seratus peratus terhadap pegawai terbabit.
"Kita tidak boleh seratus peratus salahkan dia dan disebabkan itu kita mahu siasatan secara terperinci dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini segera.
"Bagi sesiapa yang mengenali pegawai berkenaan sudah pasti tahu dia seorang kakitangan yang baik dan mungkin sesuatu berlaku menyebabkan kejadian itu terjadi," katanya dipetik sebagai berkata.

