Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim minta BN dedahkan belanja pada hari penamaan calon
Diterbitkan:  Jan 13, 2019 6:58 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

PRK Cameron | Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang meminta BN menjelaskan berapa ramai penyokong dikerahkan untuk hadir pada hari penamaan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands semalam dan jumlah perbelanjaan terlibat.

"Adakah Barisan Nasional bersedia untuk mendedahkan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi membawa orang ramai ke hari pencalonan semalam, dan jumlah keseluruhan perbelanjaan yang terlibat serta menjawab semua pertanyaan mengenai perbelanjaan sepanjang tempoh pilihan raya kecil ini?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas gambar ditularkan di media sosial oleh penyokong BN memaparkan seorang wanita memakai T-shirt Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mengagihkan wang kepada beberapa individu pada hari penamaan calon semalam.

Bagaimanapun PH menafikan dakwaan itu dan menjelaskan ia hanya memberikan bayaran balik untuk kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri.

Menjelaskan lebih lanjut, Kit Siang berkata wanita berkenaan bernama Vanessa, berketurunan Dusun-Punjabi dan telah menjadi sukarelawan Impian Malaysia sejak 2014.

"Beliau ditugaskan untuk menguruskan Orang Asli dari pelbagai kampung Orang Asli yang hadir menaiki motosikal pada hari penamaan calon di Tanah Rata, semalam.

"Terdapat 60 penunggang motosikal dan beliau membuat pembayaran balik sebanyak RM20 setiap seorang.

"Terdapat lima buah kereta dan empat bas yang membawa Orang Asli tetapi ia tidak diletakkan di bawah tanggungjawab Vanz (Vanessa)," katanya.

Beliau menafikan pemberian itu bertujuan membeli undi dan menyeru orang ramai membuat laporan jika kejadian tersebut berlaku semasa pilihan raya kecil itu.

"Saya menyeru semua pengundi Cameron Highlands agar menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan seperti amalan membeli undi dan kegiatan rasuah bagi menjadikan pilihan raya kecil (PRK) kali ini sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara.

"Saya juga menyeru semua parti politik dan calon yang bertanding untuk bersama-sama turut serta menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara dengan mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya apabila diminta kelak," katanya.

Lihat Komen
ADS