Anggota Parlimen Segamat, R Santhara Kumar kesal dengan penyebaran poster fitnah di media sosial yang mengatakan penduduk tidak boleh meminta pertolongan daripadanya kerana beliau bukan 'ah long'.

Santhara, sebaliknya menyalahkan Umno Segamat kerana penyebaran poster itu.

Katanya, ini tuduhan itu dibuat berdasarkan kenyataan dikeluarkan pada 1 Januari lalu yang mana beliau menjelaskan pejabat parlimennya tidak menyediakan pinjaman tanpa faedah kerana tidak ada peruntukan sedemikian.

Poster itu disertakan dengan kapsyen berbunyi: "Rakyat jangan minta tolongan dengan Saya. Saya bukan ah long".

"Pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan nombor telefon bimbit saya yang meminta orang ramai untuk mencari saya bagi pinjaman peribadi dan perniagaan, dan selepas itu Facebook Ops Johor menyiarkan kenyataan berikut yang didakwa berasal dari saya: "Rakyat jangan mintak tolong dengan saya. Saya bukan ah long .

"Kenyataan palsu menggunakan infografik juga telah diedarkan secara meluas di Whatsapp, menunjukkan terdapat niat jahat untuk memfitnah saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Santhara berkata beliau hanya menjelaskan bahawa pinjaman perniagaan boleh didapati dari Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

"Selagi permohonan itu memenuhi semua kriteria, saya berkata saya dengan senang hati akan menyokong permohonan itu.

"Bagaimanapun, tidak ada peruntukan yang diberikan kepada mana-mana anggota parlimen oleh kerajaan untuk pinjaman peribadi atau perniagaan, sama ada dengan faedah atau tanpa faedah," katanya.

Santhara berkata beliau juga menjelaskan bahawa adalah tidak beretika untuk mengesahkan mana-mana dokumen sebagai salinan sebenar tanpa melihat dokumen asal dan mengarahkan permintaan tersebut dibuat kepada 11 ketua kampung di Johor.

Santhara berkata setiausaha akhbarnya telah membuat laporan polis berhubung poster itu.

Beliau juga memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil jika tuduhan tersebut diulangi.