Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Bagi calon pertama dari suku kaum Semai BN, Ramli Mohd Nor, pendidikan menjadi perkara utama yang akan ditekankan sekiranya berjaya memenangi dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Bekas pegawai polis yang sedang mengikuti program doktor falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan di International University Of Malaya-Wales (IUMW) itu berpendapat, hanya pendidikan mampu mempertingkatkan peluang mereka dalam masyarakat.

"Ini pandangan peribadi saya. Saya belum jadi YB (Yang Berhormat) lagi. Aspek utama adalah untuk mempertingkatkan mereka dalam masyarakat, pertama sekali ialah (beri) pendidikan kepada mereka. Salah satu sebabnya adalah seperti saya.

"Dan perspektif lain adalah dari segi peluang (untuk) ekonomi yang baik kepada mereka dan selepas itu isu tanah adat," katanya kepada pemberita di Kampung Bertang hari ini.

Katanya, keadaan Orang Asli di Pahang semakin baik dan mengenai isu tanah adat, ia diselesaikan secara beransur-ansur.

Ramli berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai apa yang beliau ingin sampaikan untuk kaum Orang Asli, memandangkan beliau merupakan wakil kepada kaum tersebut.

Menyentuh mengenai isu peneroka Felda, beliau berkata isu yang sering dibangkitkan oleh peneroka akan ditekankan sekiranya berjaya memegang jawatan ahli Parlimen di Cameron Highlands.

"Saya masih belum jadi (ahli parlimen). Apa isu Felda? Yang saya nampak isu harga kelapa sawit menurun.

"Itu punca utama pendapatan mereka, mereka ni orang kampung dan pekebun-pekebun kecil getah yang kehidupan sehari mereka bergantung secara ekonomi (kepada hasil tanaman mereka)," katanya.

Lihat Komen
ADS