Paling Popular
Terkini

PRK CAMERON | Ketika ramai rakyat Malaysia sinis terhadap Najib Razak yang terpalit dengan kes pengubahan wang haram dan salah guna jawatan, penduduk Felda di Jelai sebaliknya mempunyai pandangan berbeza terhadap beliau.

Tinjauan Malaysiakini mendapati beberapa generasi kedua di Felda Koyan 3 tetap melihat Najib sebagai pemimpin yang akan mencari penyelesaian secepat mungkin untuk peneroka Felda.

Menurut Mohd Fadzil Suparman, 49, perkara itu berbeza jika dibandingkan dengan kerajaan PH yang mengumumkan hutang negara melebihi RM1 trilion.

Baginya sebagai kerajaan, menjadi tanggungjawab PH untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu.

"Kes Najib yang dibawa ke mahkamah pun bukan macam kes liwat atau bukan kes bunuh. Kes pecah amanah, menyeleweng dana. Kes dia itu sajakan?

"Dia buat pun dia tak lupa rakyat, dia janji lagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) bagi RM2,000 kalau dia menang," katanya.

Pendapatan susut ketara

Salah seorang penyokong PAS yang hanya mahu dikenali sebagai Ida pula berpendapat Najib memang bukan bekas perdana menteri yang terbaik.

Namun katanya dalam keadaan sekarang dia berpendapat Najib lebih sesuai kembali mentadbir negara kerana nasib peneroka terabai sekarang.

"Najib bukan yang terbaik tapi dia lebih baik daripada PH. Sekurang-kurangnya dia jaga kebajikan orang Melayu. Sekarang ni akak penyokong PAS.

"Tapi (kalau dibandingkan) daripada kerajaan dulu dengan sekarang biar (lebih baik) kerajaan dulu," katanya yang telah menetap di Felda Sungai Koyan 1 sejak 20 tahun lalu.

Ida

Kata Ida keadaan semasa memang dirasakan menekan terutama apabila pendapatannya dari ladang berkurangan sehingga RM2,000.

Kelewatan pembayaran pula menjejaskan perbelanjaan keluarganya, terutama apabila dua daripada lima orang anaknya masih belajar.

Turut tinggal bersama Ida ialah anak sulungnya yang telah berkahwin - dan mempunyai dua orang anak - tinggal bersamanya.

Ida berkata, di memutuskan untuk turun mengundi pada 26 Januari ini memandangkan BN meletakkan calon yang beragama Islam iaitu Ramli Mohd Nor.

Ramli merupakan bekas pegawai polis dari suku kaum Semai.

"Kalau BN letak calon bangsa India, saya akan buat undi rosak atau tidak mengundi," katanya.

Untuk rekod kerusi Cameron Highlands memang diwakili MIC selama beberapa penggal. Misalnya pada 2004 dan 2008, ia dipegang oleh K Devamany. Pada 2013, ia dimenangi oleh presiden MIC ketika itu, G Palanievel.

Tak sempurna tak apa

Pada PRU ke-14, ia dimenangi oleh C Sivarraajh sebelum Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan naib presiden MIC itu terbatal ekoran berlaku amalan rasuah.

Seorang lagi peneroka, Zainal Abidin Abu Bakar, berkata sayangnya kepada Umno dan BN melebihi Najib dan berpendapat anggota parlimen Pekan itu menjadi mangsa fitnah.

Zainal Abidin

"Saya sayangkan pada parti Umno dan BN. Tentang pemimpin ni, nombor dua. Parti ni (Umno) dah lebih 60 tahun.

"Punca kekalahan Najib sebab difitnah sebab orang nak nak jatuhkan dia," katanya yang berusia 69 tahun.

Isu pembayaran peneroka turut dirasai Norazmi Mohd Alias Mokhtar yang merupakan antara generasi kedua yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran PH.

Norazmi

Mengakui pentadbiran BN dahulu tidaklah sesempurna, tetapi kata Norazmi dia masih dapat merasakan pengorbanan Najib terhadap peneroka sebelum ini.

"Dulu tak ada masalah bayaran bulanan, bonus. Masing-masing boleh berangan nak beli rumah, kereta baru.

"Sekarang ni keadaan memberi tekanan kepada peneroka sebab banyak barang yang nak beli terpaksa ditangguh.

"Peneroka pun terpaksa berjimat-cermat sekarang. Apabila kita berjimat-cermat, pendapatan peniaga pasar malam di kawasan ni pun terjejas sebab orang takut nak berbelanja sesuka hati," kata lelaki berusia 53 tahun itu.

Bercakap mengenai pendakwaan Najib sebelum ini, Norazmi berkata hanya rakyat di Pahang saja yang tahu hati budi sebenar pemimpin mereka.

Sedangkan orang luar, katanya, tidak mengenali Najib dalam erti kata sebenar dan hanya memberi persepsi negatif terhadap pemimpin yang bukan dari negeri mereka.  

Lihat Komen
ADS